Ketelusan perlu jadi teras pentadbiran Islam

Ketelusan perlu jadi teras pentadbiran Islam

[Sertai Telegram kami untuk berita terikini di t.me/mdateline]

Antara teras terpenting sebuah pentadbiran Islam bagi mendapat kepercayaan orang ramai ialah ketelusan.

“Memang sifat manusia bila kita dilihat cuba merahsiakan sesuatu, mereka akan mencari segala jalan untuk mengetahuinya,” kata Adun Amanah tunggal Kelantan, Datuk Husam Musa semasa merasmikan Kuliah Pagi Jumaat di Wisma Tok Guru, Salor pagi ini.

Beliau mengulas soalan-soalan yang dikemukakan oleh masyarakat Mekah apabila mereka diseru kepada Islam.

“Mereka bertanya Nabi saw tentang bila akan berlaku kiamat, makanan apa yang pertama dihidang bila masuk syurga dan mengapa wajah anak-anak ada sebahagian menyerupai ibu manakala yang lain menyerupai bapa,” katanya memetik satu hadis.

Walaupun katanya, baginda nabi tidak menjawab terus semua soalan, baginda kemudian memberi jawapan selepas diberitahu malaikat Jibrail  sebagai memenuhi semangat ketelusan.

“Sikap telus pentadbiran Islam ditunjukkan semasa pentadbiran Sayyidina Umar al-Khattab apa segala urusan kerajaan didokumenkan dan boleh disemak oleh sesiapa,” katanya.

Sebab itu katanya di Zaman Umar dimulakan kalendar Islam berdasarkan taqwim qamariah (peredaran bulan) supaya segala dokumen diketahui bila ditulis sebagai rujukan orang kemudian.

Menurutnya Parti Amanah Negara (Amanah) bila diberi peluang memerintah nanti perlu mengamalkan konsep ketelusan sepenuhnya.

“Dalam hal kelulusan kawasan balak misalnya, kita perlu buat papan tanda depan SUK untuk umumkan syarikat dan pemilik yang berjaya mendapat konsesi pembalakan,” katanya.

Turut menyampaikan kuliah pagi ini adalah Ustaz Dr. Fauzi Zakaria, bekas setiausaha akhbar arwah Tuan Guru Nik Abdul Aziz Nikmat.

TAGS