Ketepi keegoan politik demi Islam, kata Ahmad Zahid

Ketepi keegoan politik demi Islam, kata Ahmad Zahid

[Sertai Telegram kami untuk berita terikini di t.me/mdateline]

Ketepikan keegoan politik dan perbezaan pendapat demi kepentingan bersama umat Islam di negara ini, kata Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

Beliau berkata jurang perpecahan dalam kalangan orang Melayu semakin melebar dengan lahirnya fahaman-fahaman politik, ideologi dan kepelbagaian pemikiran baharu dan bercelaru.

Katanya ia sama sekali tidak memberi apa-apa kelebihan, sebaliknya perbezaan yang pada asalnya merupakan suatu rahmat, boleh bertukar menjadi ancaman kepada umat Islam.

“Kita tidak mahu kerana perbezaan-perbezaan kecil menyebabkan berlakunya permasalahan seperti yang berlaku di Syria kerana ini lebih memperluaskan jurang untuk kita mencari jalan penyatuan.

“Kita akan mencari titik pertemuan. Saya yakin ia akan dapat dilaksanakan apabila ada keazaman politik yang bersama antara kerajaan, bukan kerajaan atau berada di luar lingkungan yang ada demi ummah dan negara,” katanya ketika berucap pada Multaqa Perundangan dan Politik Majlis Perundingan Islam (MPI),hari ini.

Dalam pada itu, Ahmad Zahid berkata masyarakat bukan Islam di negara ini juga perlu menghormati dan memberi hak kepada orang Islam untuk menentukan acuan Islam itu sendiri.

“Adalah tidak munasabah jika wuduk atau solat yang ingin kita buat, kita perlu bertanya kepada orang yang tidak sama akidah dengan kita sama ada ia betul atau tidak.

“Belajarlah untuk menghormati apa yang ada pada kita dan kita akan menghormati mereka yang tidak sama akidah dengan kita,” katanya.

Sementara itu, terdapat lapan resolusi perundangan dibentangkan pada multaqa itu antaranya mengenai memperbetulkan persepsi tentang kedaulatan Islam di Malaysia, memperkasakan institusi kesultanan Melayu dan undang-undang Islam di peringkat persekutuan serta negeri.

Selain itu, sembilan resolusi politik turut dibentangkan antaranya menangani perpecahan kuasa politik dalam kalangan umat Islam bagi mengelak kuasa politik umat Islam terhakis dan parti pembangkang dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) perlu berperanan secara lebih efisien sebagai ejen ‘check and balance’ (menyemak dan mengimbangi) kepada kerajaan.

Ahmad Zahid berkata resolusi-resolusi berkenaan akan dikemukakan kepada kerajaan dan akan diteliti mengikut aspek perundangan dan politik serta diperincikan mengikut kesesuaian masyarakat berbilang kaum di negara ini.

 

TAGS