Ketua AMANAH Tumpat lapor polis dituduh khianat Islam

Ketua AMANAH Tumpat lapor polis dituduh khianat Islam

Akibat membuat tuduhan dan cercaan di aplikasi Whatsapp hingga menuduh pemimpin dan ahli-ahli AMANAH Tumpat sebagai pengkhianat Islam, satu laporan polis dibuat di ibu pejabat polis daerah (IPD) Tumpat hari ini.

Ketua AMANAH Kawasan Tumpat Wan Mohd Johari Wan Omar dalam laporan polisnya berkata tuduhan ini sangat berat dan beliau memohon polis membuat siasatan serta tindakan lanjut berkenaan hal ini.

“Mengikut seksyen 298A, kanun kesiksaan jika sabit kesalahan ini si pelaku boleh dihukum penjara lima tahun,” katanya.

Menurutnya pada 7 September lalu, beliau menerima status aplikasi perisian Whatsapp ‘Group siasah Islam WB’ yang dimuat naik oleh Muhamad Shahrul Azhar Noor Zeli.

“Mesej yang dimuat naik itu mengatakan saya yang ditulis sebagai Wan Jo, Hazizi bin Mohamad yang biasa dikenali sebagai Zizi dan Wan Ahmad Wan Ibrahim yang dikenali sebagai Mat Islam sebagai pengkhianat Islam.

“Mesej itu turut menyebut Pengerusi AMANAH negeri Kelantan (Datuk) Wan Abdul Rahim Wan Abdullah juga dengan tuduhan yang sama,” katanya.

{loadposition myposition}

Sebagai jalan penyelesaian katanya, beliau telah meminta juga melalui kumpulan Whatsapp yang sama supaya Shahrul Azhar menarik balik tuduhan jeleknya itu dalam masa 24 jam.

“Selepas 24 jam pihak yang menuduh itu bukan sahaja tidak menarik balik malah terus mempersenda-sendakan saya dan rakan-rakan ahli AMANAH.

“Dalam perbincangan di tempat yang sama ada pula ahli-ahli dalam kumpulan itu yang mencelah kononnya kalau si penuduh dilapor polis atau didakwa mereka akan memberi sokongan kewangan,” katanya.

Menurut Wan Johari, laporan polis dan mungkin tindakan undang-undang yang akan dibuat bertujuan menyedarkan orang ramai bahawa gejala seperti ini tidak harus dibiarkan menjadi punca kerosakan dalam masyarakat.

“Kita tidak mahu masyarakat kita yang mewarisi budi bahasa yang tinggi, perpaduan yang baik dan sikap toleransi diracuni cara berfikir negatif seperti ini,” katanya.

CATEGORIES
TAGS