Ketua Menteri Sarawak meninggal dunia

Ketua Menteri Sarawak meninggal dunia

Ketua Menteri Sarawak Tan Sri Adenan Satem diberitakan meninggal dunia pada jam 1.20 tengahari tadi di Pusat Jantung Hospital Besar Sarawak di Samarahan.

Adenan meninggal dunia 16 hari sebelum hari lahirnya yang ke-73.

Anak saudara perempuannya Haslinda Hamzah mengesahkan Adenan meninggal dunia pada kira-kira 1.20 tengah hari di Pusat Jantung Sarawak, Kota Samarahan, Kuching.

Bagaimanapun, punca kematian belum dapat dipastikan namun Adenan mempunyai sejarah penyakit jantung.

Dalam satu temu ramah dengan Bernama sebelum pilihan raya negeri Sarawak tahun lalu, Adenan berkata beliau hampir mati akibat sakit jantung tiga tahun sebelum itu.

Beliau menjadi Ketua Menteri Sarawak yang kelima selepas mengambil alih jawatan itu daripada Tun Abdul Taib Mahmud pada 28 Febuari 2014.

Adenan telah membawa Barisan Nasional (BN) mencapai kemenangan besar pada pilihan raya negeri Sarawak ke-11 pada 7 Mei, 2016.

Semoga Allah SWT mencucuri rahmat ke atas roh Allahyarham. Alfatihah

Allahyarham merupakan Ketua Menteri Sarawak yang kelima selepas mengambil alih tugas daripada Tun Abdul Taib Mahmud pada 28 Feb 2014.

Pada PRN yang lalu, Presiden Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (BN-PBB) itu memenangi kerusi Dewan Undangan Negeri Tanjong Datu, menewaskan Jazolkipli Numan (PKR) dengan majoriti 5,892 undi.

Allahyarahm  meninggalkan seorang isteri, Puan Seri Jamilah Anu serta lima anak, empat perempuan dan seorang lelaki.

Dilahirkan pada 1944 di Kuching, Sarawak, Allahyarham mendapat pendidikan awal di Sekolah St Joseph, Sarawak sebelum melanjutkan pengajian dalam bidang undang-undang di University of Adelaide, Australia.

Memulakan kariernya sebagai Majistret di Kuching pada 1970, Adenan pernah berkhidmat sebagai Menteri Muda Pembangunan Tanah Sarawak selama dua tahun sehingga 1987 dan Menteri Sumber Asli dan Alam Sekitar pada 2004.

Perjalanan karier Allahyarham sebagai Ketua Menteri bermula pada 2010 apabila beliau dilantik sebagai Penasihat Khas di Pejabat Ketua Menteri sebelum menyandang jawatan Menteri di Pejabat Ketua Menteri dan Menteri Tugas-tugas Khas Sarawak yang kebanyakannya mengendalikan isu berkaitan tanah.

Sebagai tokoh politik yang banyak menabur jasa dan khidmat khususnya dalam pembangunan negeri Sarawak, Allahyarham dianugerahkan pelbagai pingat dan darjah kebesaran termasuk Darjah Panglima Setia Mahkota yang membawa gelaran ‘Tan Sri’, selain Pingat Perkhidmatan Bakti Negeri Sarawak dan Johan Bintang Sarawak pada 1986.

Peningkatan taraf hidup masyarakat di Sarawak merupakan agenda politiknya yang utama dan pangkat bukanlah kayu ukur yang diguna pakai untuk membuktikan kemampuannya sebagai seorang pemimpin yang nyata begitu di segani.

Mengimbas kembali bait-bait ucapannya ketika berucap merasmikan Majlis Pelancaran Jentera PRN-11 PBB Zon Samarahan di Dewan Suarah Kota Samarahan, April tahun lalu: “Sebagai seorang yang pernah memegang banyak jawatan penting dalam kerajaan sebelum dilantik menjadi Ketua Menteri, saya tidak ‘gilakan pangkat’.

“Apa yang saya mahu ialah melihat taraf hidup masyarakat terus dipertingkatkan, lihatlah apa yang telah dilakukan sepanjang dua tahun saya dilantik sebagai Ketua Menteri.”ujarnya.

TAGS