Ketua Menteri Tamil Nadu Jayalalithaa meninggal dunia

Ketua Menteri Tamil Nadu Jayalalithaa meninggal dunia

[Sertai Telegram kami untuk berita terikini di t.me/mdateline]

Ketua Menteri Tamil Nadu J. Jayalalithaa meninggal dunia malam Isnin, sekali gus mencetuskan suasana kesedihan di negeri selatan India.

Jayalalithaa, 68 tahun, antara anggota politik yang paling berkuasa di India telah dimasukkan ke hospital Chennai pada 22 Sept lepas akibat demam, dehidrasi dan jangkitan pernafasan.

Pada petang Ahad beliau mengalami serangan jantung dan keadaannya semakin merosot.

Para doktor di Hospital Apollo bersama-sama pakar dari Institut Sains Perubatan New Delhi All India gagal menyelamatkan beliau selepas beliau diberikan bantuan hayat.

“Setiap bantuan klinikal diberikan bagi menyelamat dan memulihan beliau. Bagaimanapun, di sebalik usaha bersungguh-sungguh kami, keadaan Ketua Menteri tidak dapat dipulihkan dan beliau meninggal dunia pada 11.30 malam, Isnin,” menurut kenyataan hospital.

Pengumuman itu dibuat dalam tempoh beberapa jam selepas pihak hospital menyangkal laporan saluran televisyen tempatan bahawa Jayalalithaa telah meninggal dunia.

Pemerintah negeri, parti All India Anna Dravida Munnetra Kazhagam (AIADMK) memilih orang kanan dan pengikut setia Jayalalithaa, O. Panneerselvam bagi menggantikan beliau sebagai Ketua Menteri.

Ketika Tamil Nadu berkabung atas kematian pemimpin ikonik itu, kawalan keselamatan dipertingkatkan di ibu negeri Chennai untuk mengawal ketenteraman awam.

Saluran televisyen India menyiarkan mengenai kesedihan para penyokong yang berkumpul di pelbagai lokasi di Chennai untuk meratapi pemergian Jayalalithaa.

Beliau dinobatkan sebagai “Puratchi Thalaivi” (pemimpin revolusi) dan dikenali sebagai Amma (ibu) dalam kalangan pengikut beliau.

Jayalalithaa mendominasi politik Tamil Nadu selama tiga dekad dan telah enam kali menjadi Ketua Menteri di negeri ini.

Beliau dilahirkan dalam sebuah keluarga Brahmin di Mysore, Karnataka, bersempadan dengan Tamil Nadu serta merupakan bintang filem yang sangat popular sebelum, secara rasmi menceburi bidang politik pada 1982.

TAGS