Kewajipan zakat lahirkan pemimpin pemurah

Kewajipan zakat lahirkan pemimpin pemurah

[Sertai Telegram kami untuk berita terikini di t.me/mdateline]

Kewajipan memunaikan zakat yang menjadi salah satu rukun Islam adalah untuk melatih para pemimpin dan usahawan berjaya beramal dengan sifat pemurah.

“Bila lebihan perolehan yang dianugerahkan kepada golongan hartawan yang pemurah mengalir kepada golongan masyarakat lain yang memerlukan, satu kestabilan sosial akan berlaku,” kata ketua Amanah kawasan Machang Dr Abdullah Tahir Osman ketika mengambil bahagian mengulas buku Kepimpinan Dalam Islam di majlis tanweer pimpinan Amanah Kelantan di Tanah Merah malam tadi.

Golongan hartawan dan pemimpin masyarat katanya adalah mereka yang dikurniakan sumber-sumber yang banyak dan Islam mengajar supaya apa
yang diperolehi itu diagihkan semula kepada asnaf yang telah ditetapkan.

“Dengan cara ini pengaliran harta seperti yang dikehendaki dalam ajaran Islam telah mempunyai garis panduan atau SOP yang jelas dan jika iktibar ini digunapakai para pemimpin akan menjadi pemurah.

“Ini jelas ditunjukkan oleh baginda Nabi SAW dan para sahabat,” katanya.

Rasulullah SAW katanya hampir tidak menyimpan langsung sebarang harta yang dihadiahkan kepada baginda walaupun kadangkala perolehan yang sangat besar diberi kepada baginda seperti semasa Fathul Makkah.

“Segala yang diberi kepada baginda dalam bentuk emas, perak, peralatan perusahaan, makanan, kuda, unta dan binatang ternakan, semua diberi kepada pelbagai qabilah yang turut bersama baginda memasuki Kota Mekah.

“Sehingga penduduk Madinah yang datang bersama baginda merungut apa yang mereka bawa balik ke Madinah kalau semuanya sudah diberi kepada orang lain.

“Lalu baginda berkata, orang lain membawa balik ke kampung mereka kambing, biri-biri, unta dan lain-lain harta tetapi kamu akan membawa balik seorang Nabi dan Rasul, apakah kamu tidak merasa lebih bertuah dari mereka?,” katanya.

Menurut beliau dari kisah seperti ini boleh diambil iktibar bahawa para pemimpin bukan sahaja perlu bersifat pemurah tetapi juga sifat pemurah itu perlu dibuat secara terbuka dan diumumkan kepada orang ramai.

“Inilah yang telah dilakukan oleh sahabat-sahabat Nabi seperti Abu Bakar, Omar, Ali, Osman dan lain-lain.

“Apabila Abu Bakar bersetuju menderma semua hartanya ketika perang Badar, Nabi terus mengumumkannya kepada orang ramai kemudian barulah sahabat-sahabat lain pula mengumumkan derma masing-masing secara terbuka,” katanya.

Beliau berpendapat konsep tangan kanan memberi, dan tangan kiri tidak tahu bukan untuk diamalkan oleh para pemimpin dan golongan pemuka masyarakat.

Dengan amalan inilah Islam dikembangkan sejak zaman Rasulullah SAW dan para pendakwah Islam sepanjang zaman.

“Sehingga di negara kita sendiri Islam datang melalui usaha para pedagang yang sambil berniaga menyebarkan ajaran Islam,” katanya.

Dalam kontek pengagihan zakat ataupun pemberian sumbangan lain kata beliau, ia perlu dipermudahkan supaya golongan daif tidak merasa sempit untuk mencari bantuan dan menganggap golongan kaya dan pemimpin kedekut.

“Masjid-masjid dan tempat-tempat ibadat orang Islam juga perlu mengadakan saluran yang membolehkan mereka yang terdesak merasa mudah untuk mendapatkan bantuan.

“Jangan sampai orang-orang yang memerlukan merasa masjid-masjid begitu sombong dengan mereka dan terjadi orang-orang Islam yang daif pergi mencari bantuan di rumah ibadat agama lain,” katanya.

Turut hadir dalam majlis tanweer yang diadakan di Musolla Ustaz Mat Feada, Gual Ipoh itu ialah penasihat Amanah Kelantan Datuk Husam Musa, timbalan pengerusi Muhammad Hussain, naib pengerusi Che Ibrahim Mohamed dan ketua wanita Normala Mohd Nadzar.

TAGS