Kewangan negara sedang genting, kata tokoh wartawan

Kewangan negara sedang genting, kata tokoh wartawan

[Sertai Telegram kami untuk berita terikini di t.me/mdateline]

Bekas ketua pengarang kumpulan akhbar utama negara, The News Strait Times, Datuk Kadir Jasin mendakwa kewangan negara dalam keadaan genting sekarang.

Keadaan menjadi tambah meruncing sejak sembilan bulan terakhir sehingga Jun tahun ini, kata Kadir dalam tulisannya yang disiarkan oleh akhbar Sinar Harian Online hari ini.

Dalam tempoh itu, katanya, hasil kerajaan lebih rendah daripada belanja mengurus.

Hal ini, kata Kadir dalam tulisan itu, tidak pernah berlaku sebelum ini.

“Dalam bahasa yang mudah, hasil yang kerajaan pungut tidak pun cukup untuk membayar gaji kakitangan awam, menyelenggarakan harta awam dan membayar balik hutang,” katanya.

Hatta, menurut beliau, pungutan cukai barangan dan perkhidmatan (GST) pun telah jatuh di bawah jumlah yang dianggarkan kerana pengguna tidak lagi berbelanja seperti dulu.

Hasil kerajaan pada umumnya hanya cukup untuk belanja pengurusan, tulis Kadir yang kini menjadi penulis bebas melalui blognya.

Menurut beliau, kos pengurusan tinggi kerana bilangan kakitangan awam ramai dan gaji yang mereka terima boleh dikira lumayan berbanding jumlah penduduk dan hasil kerajaan. Bayaran Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) dan subsidi pun datang daripada sumber yang sama.

“Untuk membangunkan negara kerajaan terpaksa berhutang. Akibatnya hutang kerajaan sangat besar,” katanya.

Dalam kedua-dua aspek perbelanjaan ini – pengurusan dan pembangunan – berlaku pembaziran yang besar akibat kelemahan pentadbiran, salah guna kuasa, penyelewengan dan rasuah, tambah Kadir yang sebelum ini menjadi tokoh di belakang media kerajaan itu.

Bagi kadir, salah satu ciri belanjawan yang diidam-idamkan oleh semua negara di dunia dan dituntut oleh badan-badan kewangan antarabangsa adalah keseimbangan di antara hasil dan perbelanjaan.

Inilah yang disebut sebagai belanjawan seimbang, katanya.

“Tetapi ia lebih berupa impian daripada kenyataan bagi kebanyakan negara. Dalam keadaan biasa pun ia sukar dicapai apatah lagi dalam suasana ekonomi yang tidak menentu seperti sekarang,” tulisnya.

Katanya, antara matlamat dan ikrar utama Datuk Seri Mohd Najib Tun Abdul Razak apabila mengambil alih teraju Kementerian Kewangan pada akhir tahun 2008 ialah menghapuskan defisit belanjawan secara berperingkat.

Kemudian sebagai Perdana Menteri pada tahun 2009 beliau menjadikan belanjawan seimbangan sebagai salah satu matlamat penting Program Transformasi Nasional. Beliau berhasrat mencapai idealisme itu menjelang tahun 2020.

Secara amnya, dasar itu menampakkan kemajuan. Defisit belanjawan, iaitu perbezaan antara hasil dan perbelanjaan, dapat dikurangkan daripada 6.7 peratus pada tahun 2009 kepada 3.2 peratus tahun lalu.

Bagaimanapun, dalam tempoh itu juga hutang kerajaan melambung kerana meminjam dengan banyak untuk membiayai pembangunan.

Akibatnya, katanya, jumlah terkumpul hutang kerajaan naik dari RM250 bilion pada tahun 2010 kepada RM656 bilion pada akhir Jun lalu.

“Ini adalah angka rasmi yang disiarkan di internet oleh Bank Negara dan dikemaskinikan pada 30 Ogos iaitu sehari sebelum ulang tahun Hari Kebangsaan ke-59,” katanya.

Jumlah ini adalah yang paling tinggi dalam sejarah negara dan mencecah had pinjaman yang Mohd Najib sendiri tetapkan iaitu 55 peratus daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK).

PENDAPAT PAKAR EKONOMI

Prof Dr Hoo Ke PingSementara itu, seorang pakar ekonomi, Prof Dr Hoo Ke Ping berkata, kegawatan sebenar belum dirasa lagi tetapi ke arah permulaan kegawatan ekonomi iaitu berada dalam putaran menurun dalam putaran ekonomi.

Beliau memberikan tanda-tanda berikut dalam memberikan pandangannya:

1. Ringgit Malaysia terus jatuh merudum

2. Bursa saham Malaysia merosot

3. Harga minyak dunia menjunam turun US$51 setong dan akan terus menjunam tidak akan naik lagi untuk tempoh yang lama sekurang-kurangnya 3 hingga ke 5 tahun daripada sekarang. Sekaligus nilai dan aset terus menurun

4. Pendapatan Petronas merosot sekaligus mengurangkan lagi pendapatan kerajaan pada tahun sekitar 20 peratus -30 peratus

5. Pendapatan dan kewangan kerajaan Malaysia “sudah lari jauh” dek kerana berpaksikan pendapatan harga minyak pada purata US$110 untuk tahun 2015. Sekarang berapa harga minyak dunia?

6. Harga sawit berada pada paras rendah dan tidak akan lagi mencecah RM2,600 setan apatah lagi RM4,000 setan. Ini kerana era ekonomi “super cycle commodity” sudah lama berlalu, tidak akan terjadi lagi.

TAGS