Khairuddin ada pendirian sendiri keluar dari Bersatu, kata Hamidah

Khairuddin ada pendirian sendiri keluar dari Bersatu, kata Hamidah

[Sertai Telegram kami untuk berita terikini di t.me/mdateline]

Datuk Seri Khairuddin Abu Hassan mempunyai pendirian sendiri dan konsisten untuk melawan Umno BN walaupun membuat keputusan keluar dari Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), kata penggerak Bersatu Perak Datuk Hamidah Osman.

Hamidah berkata, beliau yakin Khairuddin masih tidak lari daripada matlamat perjuangan iaitu menjatuhkan perdana menteri Datuk Seri Najib Razak dalam pilihan raya umum ke-14.

“Saya yakin Datuk Khairuddin pun ada pendirian sendiri. Apa yang penting bagi saya bukan jawatan dalam mana-mana parti tapi yang penting matlamat kita dan saya tengok beliau masih berpegang kepada matlamat kita harus gulingkan Najib dan harus tumbangkan Umno BN,” katanya kepada Malaysia Dateline.

Khairuddin yang merupakan pembantu kanan Tun Dr Mahathir Mohamad hari ini mengumumkan keluar dari Bersatu berkuatkuasa serta merta.

Keputusan itu katanya kerana ingin memberi tumpuan sepenuh masa terhadap kes-kes mahkamah ke atas beliau yang sedang dan akan berlangsung secara berterusan selepas ini.

“Saya perlu memberi fokus secara sepenuh masa bagi menghadapi beberapa perbicaraan penting untuk lawan segala bentuk kemungkaran korupsi Najib Tun Razak dan salah laku institusi-institusi kerajaan di tanah air kita,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Beliau bagaimanapun masih bersama dalam Deklarasi Rakyat.

Sementara itu, mengulas mengenai perkembangan Bersatu di Perak, Hamidah berkata pihaknya bergerak sebagai sukarelawan dan masih belum mempunyai struktur organisasi sebagai sebuah parti.

Namun katanya, beliau bersama beberapa penggerak yang lain sedang rancak mencari keahlian di negeri itu.

“Walaupun kita tak ada struktur yang sebenar lagi, tapi gerakan untuk mencari ahli nampaknya begitu rancak dan tidak ada permasalahan.

“Untuk siapa mengetuai Bersatu, kami di Perak sangat terbuka. Terserah kepada pucuk pimpinan untuk memilih siapa sahaja yang difikirkan layak. Apa yang penting adalah perjuangan kita. Jawatan tidak penting,” tegasnya yang merupakan bekas Ketua Penerangan Wanita Umno.

Ditanya mengenai kerjasama Bersatu dengan Pakatan Harapan – Amanah, PKR dan DAP di Perak, Hamidah berkata pihaknya sudah beberapa kali bekerjasama dalam menganjurkan program-program seperti ceramah penerangan di negeri itu.

“Petang ini kita akan berjumpa dengan rakan-rakan kita dari Amanah,bukan perjumpaan rasmi cuma perjumpaan suai kenal.

“Kami sudah berkawan, berjumpa untuk lebih mengenali. Kita tak boleh tunggu struktur yang betul baru hendak bergerak. Kita kena bergerak dengan apa yang ada sekarang.

“Sekarang ini dah banyak ceramah yang kita buat bersama dan menjalinkan kerjasama jadi saya rasa kalau kita ada satu perjumpaan, duduk berbincang saya yakin gerakan ini akan jadi lebih lancar,” katanya lagi.

Pada 9 Oktober lalu, program Bersatu Perak di Seri Manjung yang dihadiri Dr Mahathir dan pemimpin utama Pakatan Harapan mendapat sambutan yang memberangsangkan daripada rakyat negeri itu.

Amanah Perak bersama Pakatan Harapan sebelum ini menyatakan kesediaan untuk menjalinkan kerjasama dengan Bersatu bagi memastikan satu ‘grand coalition’ terbentuk di negeri itu untuk menentang BN dalam PRU14.

TAGS