Khairuddin mohon maaf kepada Tun Mahathir

Khairuddin mohon maaf kepada Tun Mahathir

[Sertai Telegram kami untuk berita terikini di t.me/mdateline]

Bekas anggota parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) Datuk Seri Khairuddin Abu Hassan mahu memohon maaf daripada Tun Dr Mahathir Mohamad kerana keluar daripada parti itu.

Beliau berkata, beliau menyangka tindakannya itu tidak memberikan sebarang kesan kepada parti memandangkan beliau hanya ahli biasa.

Khairuddin juga menegaskan, beliau tidak berniat untuk memburukkan imej parti.

Justeru katanya beliau tidak merujuk Dr Mahathir sebelum mengambil tindakan itu.

“Belum dihubungi Tun Mahathir (tapi) sebagai orang tua lebih tertib saya pergi jumpa dia.

“Dengan perasan rendah diri dan tawaduk saya nak mintak maaf kepada Tun Mahathir,” katanya kepada pemberita di Ibu Pejabat Polis Bukit Aman petang tadi.

Beliau hadir memberikan sokongan kepada bekas Menteri Kewangan II Datuk Seri Ahmad Husni Hanadzlah yang dijadual dipanggil untuk disoal siasat hari ini.

Khairuddin juga berkata, beliau hairan mengapa persepsi masyarakat bahawa beliau sangat rapat dengan Dr Mahathir terlalu kuat.

“Saya agak kurang bernasib baik kerana dikaitkan dengan Tun Mahathir dengan kuat sekali.

“Sebenarnya tak ada apa saya main peranan sama macam kawan-kawan lain tapi tak tahu kenapa persepsi masyarakat hubungan saya dengan Tun Mahathir rapat dan terlalu akrab walaupun sebenarnya tidak,” katanya.

Khairuddin juga mengulangi alasan beliau keluar dari Bersatu adalah kerana ingin memberi tumpuan terhadap kes mahkamah yang dihadapinya.

“Saya nak bagi tumpuan kes mahkamah 14 november ini, sekiranya pejabat peguam negara berjaya rayuan saya akan masuk balik ke (penjara) Sungai Buluh.

“Kita cuba kaedah politik belum berjaya, nak tukar sikit strategi nak fokus kaedah perundangan. Di dalam atau di luar Bersatu yang penting matlamat sama. Walaupun di luar Bersatu saya tetap akan bantu Bersatu dari luar,” katanya.

TAGS