Khairudin umum keluar Bersatu, tetap dengan Deklarasi Rakyat

Khairudin umum keluar Bersatu, tetap dengan Deklarasi Rakyat

[Sertai Telegram kami untuk berita terikini di t.me/mdateline]

Pembantu kanan Tun Dr Mahathir Mohamad, Datuk Seri Khairuddin Abu Hassan mengumumkan keluar dari Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) berkuatkuasa serta merta.

“Saya dengan ini mengumumkan untuk keluar dari menjadi ahli Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) berkuatkuasa serta merta,” kata Khairudin dalam kenyataannya sambil menegaskan akan tetap bersama Deklarasi Rakyat yang ditubuhkan Mahathir.

Tindakan ini adalah atas dasar untuk memberi tumpuan secara sepenuh masa untuk menghadapi semua kes-kes mahkamah yang sedang serta akan berlangsung secara berterusan selepas ini, katanya dalam satu kenyataan.

Pada hakikatnya, katanya, “Saya perlu memberi fokus secara sepenuh masa bagi menghadapi beberapa perbicaraan penting untuk lawan segala bentuk kemungkaran korupsi najib tun razak dan salahlaku institusi-institusi kerajaan di tanahair kita.”

Dalam masa yang sama, katanya, beliau ingin mengucapkan selamat maju jaya kepada semua para rakannya yang berada bersama parti Bersatu dan berharap mereka akan menggalas tanggungjawab secara beramanah dan sebaik mungkin bagi memperkasakan parti baru ini di pesada politik negara Malaysia.

“Secara jujur dan ikhlas semua pemimpin-pemimpin dan ahli-ahli parti Bersatu tidak boleh berpuak-puak dan jangan sama sekali menyerapi budaya serta amalan buruk Umno ke dalam Bersatu,” katanya yang sejak dari awal dilihat mempunyai masalah dengan Bersatu.

Bagaimanapun beliau menyertai parti itu dan kali ini keluar semula.

Sehubungan dengan itu, katanya, segala jemputan dan program-program ceramah di seluruh negara beliau bakal hadiri atas kapasiti peribadi dan bukan di atas platform ahli Bersatu lagi.

“Mulai saat dan detik ini; setiap ngorak langkah perjuangan saya adalah atas nama khairuddin bin abu hassan tanpa mewakili mana-mana parti politik buat sementara waktu,”katanya.

“Insya-Allah dengan izin Allah swt; saya akan tetap teruskan agenda perjuangan melawan Perdana Menteri yang paling korup dalam sejarah kepimpinan di negara kita yang tercinta ini!! Lawan tetap lawan!!.

“Adakalanya di dalam perjuangan kita hanya perlu berbekalkan keikhlasan untuk berjuang!! Jawatan tidak penting langsung sekiranya kita ikhlas untuk berjuang!!” katanya.

Tetapi, katanya, beliau akan tetap bersama Sekretariat Deklarasi Rakyat dan akan teruskan platform perjuangan bersejarah ini yang telah mencipta satu lakaran sejarah penyatuan rakyat dari setiap kaum, agama serta idelogi politik sebelum tertubuhnya parti Bersatu untuk UNDURKAN NAJIB!!

“Sekretariat Deklarasi Rakyat ini cukup bermakna dan amat sentimental buat diri saya,” katanya merujuk kepada sebuah badan yang ditubuhkan oleh Tun Mahathir.

“Salam perjuangan buat semua para sahabat di dalam parti Bersatu dan juga keseluruhan parti-parti politik dari Pakatan Harapan yang amat saya sanjungi wadah perjuangan ikhlas mereka kearah Selamatkan Malaysia!!

TAGS