Khairy dicabar anjur dialog TN50 babitkan PH, jamin tiada insiden lempang

Ekoran insiden melempang dalam dialog TN50 perdana menteri dengan golongan artis di Putrajaya malam tadi, ahli parlimen Pandan Rafizi Ramli menuntut menteri belia dan sukan, Khairy Jamaluddin yang diberikan mandat oleh kerajaan pimpinan Najib untuk memimpin kempen TN50 memenuhi dua tuntutan.

Pertama, ketua pemuda Umno itu diminta mendedahkan secara terperinci perbelanjaan setiap penganjuran sesi temu pemimpin TN50 dan semua perbelanjaan lain bersabit dengan kempen TN50 ini.

Kedua, berani berdepan dengan semua golongan rakyat dalam melaksanakan program dialog TN50 dan bukan berdepan dengan jemputan yang telah dipilih semata-mata.

Sehubungan itu, Rafizi mencabar Khairy menganjurkan satu sesi bertemu beliau (townhall session) dengan 300 orang wakil pembangkang yang disiarkan secara langsung oleh RTM.

“Saya jamin tidak akan ada sebarang peristiwa melempang dalam sesi itu dan akan betul-betul memberi tumpuan kepada perbincangan masalah rakyat, bukan lakonan dan drama yang dicipta untuk melindungi imej seorang Perdana Menteri yang semakin ditolak rakyat,” ujarnya.

Rafizi menambah, jika Datuk Seri Najib Razak berani berdepan dengan ahli-ahli Parlimen Pakatan Harapan dengan selalu hadir menjawab dan berbahas di Parlimen, wang negara tidak perlu dibazirkan untuk menganjurkan acara penuh drama seperti TN50.

Menurutnya, kerajaan perlu menjelaskan jumlah peruntukan keseluruhan untuk menjalankan kempen TN50 ini termasuk penganjuran sesi ‘townhall’, pengiklanan dan lain-lain.

“Berapa yang telah dibelanjakan setakat ini dan berapa yang akan dibelanjakan selepas ini? Peruntukan kementerian mana yang telah digunakan untuk menganjurkan sesi propaganda ini?” ujarnya.

TAGS