Khairy digesa desak polis bebaskan Maria Chin

Khairy digesa desak polis bebaskan Maria Chin

[Sertai Telegram kami untuk berita terikini di t.me/mdateline]

Setiausaha Publisiti DAP, Tony Pua mencabar Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin supaya mendesak polis agar membebaskan pengerusi Bersih Maria Chin Abdullah daripada disiasat mengikut Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-langkah Khas) 2012 (Sosma).

Ia berikutan hujah Khairy di Parlimen sebelum ini yang menegaskan bahawa perhimpunan Bersih tidak ‘memudaratkan demokrasi berparlimen’ ketika membahaskan Rang Undang-Undang (RUU) itu.

“Penangkapan Maria Chin Abdullah mengikut Sosma tiga hari lepas telah mengesahkan kebimbangan yang pernah disuarakan anggota parlimen pembangkang apabila RUU berkenaan diluluskan empat tahun lepas.

“Meskipun hanya menganjurkan perhimpunan aman untuk menuntut pilihan raya yang bebas dan adil bagi memastikan kerajaan bersih, polis tetap menjalankan siasatan terhadap beliau kerana kononnya mengadakan ‘aktiviti memudaratkan demokrasi berparlimen’,” kata Tony dalam satu kenyataan hari ini.

Pihak pembangkang, ketika membahaskan RUU itu mendakwa klausa ‘aktiviti memudaratkan demokrasi berparlimen’ dalam akta tersebut memberikan tafsiran yang luas dan terbuka, justeru terdedah kepada penyalahgunaan kuasa oleh kerajaan.

Tony yang juga Ahli Parlimen Petaling Jaya Utara turut mempersoalkan sama ada Khairy yang juga Ahli Parlimen Rembau akan melakukan “tindakan terpuji” dan mendesak supaya Maria dibebaskan dengan segera ekoran tangkapan salah mengikut akta tersebut.

“Atau adakah beliau (Khairy) akan terus menutup mulut dan berpura-pura bahawa beliau tidak pernah berkata di Parlimen bahawa RUU SOSMA tidak akan digunakan untuk mengekang perhimpunan aman atau Bersih?” Soalnya.

Maria ditahan di bawah Sosma pada Jumaat lalu, sehari sebelum perhimpunan Bersih 5.

Beliau disiasat di bawah Seksyen 124C Kanun Keseksaan kerana melibatkan diri dalam aktiviti-aktiviti yang memudaratkan demokrasi berparlimen dan ditahan di bawah Sosma yang membenarkan penahanan tanpa perbicaraan sehingga 28 hari.

 

TAGS