Khalid pula diusir dari Sarawak

Khalid pula diusir dari Sarawak

[Sertai Telegram kami untuk berita terikini di t.me/mdateline]

Selepas beberapa pemimpin pembangkang, aktivis dan ahli akademik dilarang masuk ke Sarawak, terbaharu Pengarah Komunikasi Amanah Khalid Samad pula dihantar pulang daripada Lapangan Terbang Kuching petang tadi.

Menurut Penyelaras Dun Beting Maro, Andri Zulkarnaen @ Hud Abusiraj Almuner, beliau menunggu ahli parlimen Shah Alam itu selama 45 minit di lapangan terbang sebelum diberitahu Khalid dihalang masuk ke Sarawak.

Hud memberitahu, Khalid menghubunginya memaklumkan beliau dihantar pulang ke Kuala Lumpur menggunakan penerbangan yang sama.

“Saya tak sempat jumpa Khalid. Beliau sampai jam 7.55 petang tadi. Saya tunggu 45 minit tapi bayang beliau tidak kelihatan.

“Kemudian saya dapat panggilan daripada Khalid memberitahu beliau dihalang masuk dan akan dihantar pulang menaiki pesawat sama iaitu Air Asia AK5234.

“Saya minta dengan pihak imegrisen untuk bertemu tetapi gagal,” katanya ketika dihubungi Malaysia Dateline.

Menurut Hud juga, Khalid sepatutnya berada di Sarawak selama lima hari bagi menghadiri beberapa mesyuarat dan program menjelang pilihan raya negeri (PRN) Sarawak.

Setakat ini lebih 30 ahli parlimen pembangkang, aktivis dan ahli akademik termasuk seorang pemimpin Umno dihalang memasuki Sarawak.

Ia termasuk Naib Presiden PKR, Nurul Izzah Anwar, Setiausaha Agung PKR Rafizi Ramli dan Presiden Amanah Mohamad Sabu. Clare-Rewcastle Brown, editor Sarawak Report, juga disenarai hitam.

Minggu lalu Exco kerajaan negeri Pulau Pinang Dr Afif Bahardin dilarang memasuki Sarawak dan pemimpin Umno, Datuk Jamal Md Yunos dihalang masuk ke Sarawak.

Pada Mac lalu, Mohamad Sabu merupakan pemimpin pembangkang terawal yang dihalang masuk ke negeri itu.

Pada 17 April pula Ketua Umno Bahagian Sungai Besar Datuk Jamal Md Yunos juga diusir dari Sarawak.

Ketua Menteri Sarawak Tan Sri Adenan Satim berkata larangan tersebut bagi menjaga keharmonian negeri itu.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan tarikh PRN Sarawak ke-11 pada 7 Mei depan manakala hari penamaan calon pula pada 25 April.

TAGS