Khalid yakin boleh menang Shah Alam walaupun 3 penjuru

Khalid yakin boleh menang Shah Alam walaupun 3 penjuru

[Sertai Telegram kami untuk berita terikini di t.me/mdateline]

Ahli parlimen Shah Alam, Khalid Samad yakin beliau boleh mempertahankan kerusi parlimen Shah Alam walaupun bertanding tiga penjuru dengan Pas dan BN jika berlaku kerjasama baik antara Pakatan Harapan dengan Bersatu.

“Dengan syarat PKR komited untuk memenangkan calon Pakatan Harapan, Insya Allah kita boleh menang,” kata Khalid menjawab pertanyaan Timbalan Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK), Zainol Abidin yang bertanya apakah beliau boleh menang jika berlaku pertandingan tiga penjuru di Shah Alam, kerusi yang beliau wakili sekarang.

Dalam forum anjuran Pemuda Amanah Selangor di Jalan Pantai Baharu, Kuala Lumpur baru-baru ini, Timbalan Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK), Zainol Abidin bertanya Khalid apakah beliau yakin boleh terus menang di Shah Alam jika pertandingan tiga penjuru berlaku dalam pilihan raya umum nanti.

Ini berikutan sikap PKR yang menolak cadangan agar Selangor membubarkan Dewan Negeri untuk membolehkan pilihan raya awal diadakan bagi mengelak kesan persempadanan semula kawasan pilihan raya.

“Kita nak sangat bubar Dun, nak pilihan raya, yakinkah kita menang?

“Sekiranya terbubar Dun Selangor, kalau Pas dan Amanah letak calon di kerusi yang sama bertanding, bagaimana?

“Apakah YB Khalid contohnya mampu menang dalam keadaan Pas meletakkan calon di kerusi Parlimen Shah Alam?” soalnya.

Menurut Khalid, semua pihak dalam Pakatan Harapan perlu bekerja untuk yang terbaik iaitu untuk membolehkan pertandingan dua penjuru berlaku dalam pilihan raya umum akan datang tetapi meminta agar parti juga bersedia untuk tiga penjuru.

“Usahakan yang terbaik tetapi bersedia untuk hadapi yang terburuk.

“Kita patut bekerja untuk dua penjuru tetapi kita perlu bersedia juga untuk tiga penjuru,” kata Pengarah Komunikasi Amanah, Khalid Samad.

Ini kerana, kata Khalid, Amanah memang sedia untuk bekerja dengan semua pihak tetapi bersedia juga jika mana-mana pihak tidak mahu bekerjasama dengan Amanah.

Menurut Khalid, dalam pilihan raya umum ke 13 lalu, Pakatan Rakyat telah mencapai kata sepakat agar kerusi Kota Damansara diserahkan kepada calon dari PSM yang menggunakan logo PKR.

Di kerusi Sungai Acheh, Pulau Pinang, mesyuarat Pakatan Rakyat yang terdiri dari Pas, PKR dan DAP juga bersetuju agar diserahkan kerusi itu kepada calon dari PKR.

Namun, pada hari penamaan calon, katanya, Pas telah meletakkan calon mereka di situ selepas mendapat restu dari presidennya sendiri.

Ia menyebabkan calon BN menang di kedua-dua kerusi itu.

“Jika semasa kita bersama dalam Pakatan Rakyat perkara ini boleh berlaku, apakah jaminan pertandingan tiga penjuru tidak akan berlaku dalam pilihan raya umum nanti.

“Jadi kita kena bersedia juga ke arah itu,” kata Khalid.

Menurut beliau, tidak semestinya pertandingan tiga penjuru akan menyebabkan calon Pakatan Harapan  kalah sebagaimana pertandingan di pilihan raya kecil Permatang Pauh.

“Walaupun Pas berkempen untuk mengalahkan calon PKR, tetapi Datuk Seri Wan Azizah tetap menang juga dalam pilihan raya itu,” kata Khalid.

Namun dengan bekerja dan berharap untuk berlaku pertandingan dua penjuru sahaja akan menyebakan Pakatan Harapan akan benar-benar kalah jika berlaku pertandingan tiga penjuru dalam pilihan raya umum nanti.

 

TAGS