Khalil serang DAP, lupa Amanat Hadi?

Khalil serang DAP, lupa Amanat Hadi?

Ketua Pemuda Pas Pusat Muhammad Khalil Abdul Hadi seharusnya menuntut Datuk Seri Abdul Hadi Awang menarik balik Amanat Hadi pada tahun 1981 yang secara jelas menyatakan bahawa Malaysia ialah negara sekular.

“Dakwaan Khalil tentang perjuangan mengsekularkan negara ini seolah-olah menunjukkan beliau lupa akan Amanat Hadi yang disampaikan dalam satu ceramah di Kampung Banggol, Peradong, Kuala Terengganu pada 7 April 1981 yang secara jelas menyatakan bahawa negara ini adalah negara sekular.

Faiz Fadzil 2“Jika Khalil memahami dakwaan tersebut, beliau seharusnya mengusulkan supaya Presiden Pas Datuk Seri Abdul Hadi Awang menarik balik Amanat Hadi,” kata Timbalan Ketua Pemuda AMANAH Nasional Faiz Fadzil (gambar kiri).

Beliau mengulas kenyataan Khalil yang juga anak kepada Abdul Hadi baru-baru ini bahawa DAP mempengaruhi parti-parti dalam Pakatan Harapan (PH) untuk mengsekularkan negara ini dan menyemarakkan hasutan kebencian dan tuduhan terutama terhadap usaha agama dibawa Pas.

“Ketika sama, pergerakan DAP turut dibayangi agenda Evangelis Kristian dan bercita-cita menawan untuk mengsekularkan negara ini. Bahkan tindak-tanduk DAP jelas mahu menjadi dominan dalam Pakatan Harapan, sekali gus menentu arah setiap tindakan pakatan itu.

“Keadaan itu mendedahkan hakikat bahawa undi kepada parti dalam Pakatan Harapan bermakna memberi undi kepada DAP. DAP sebenarnya menyelindungi wajah hipokrit dengan menyelinap serta mempengaruhi Parti Amanah Negara, Parti Pribumi Bersatu Malaysia dan PKR untuk dicengkam sebagai proksi dalam melaksanakan pelbagai misinya,” katanya dalam kenyataan.

Mengulas lanjut, Faiz menyifatkan dakwaan itu sebagai suatu usaha terdesak Pas bagi mengaburi mata orang Melayu Islam di negara ini daripada membuat perubahan dalam pilihan raya umum Ke-14.

“Khalil yang terus-menerus mendendangkan isu yang sama seolah-olah membaca skrip yang ditulis Umno yang tidak lagi mempunyai peluru bagi menangkis segala isu rasuah dan salah tadbir urus Perdana Menteri Datuk Sri Najib Razak dan Umno dalam negara selain daripada bergantung kepada sentimen perkauman,” katanya.

{loadposition myposition}

Faiz turut menegaskan, AMANAH yang juga meletakkan Islam sebagai dasar perjuangan tidak sesekali menjadi proksi kepada DAP.

“Kebersamaan AMANAH dengan DAP dan juga rakan lain dalam PH termasik PKR dan Bersatu adalah dalam rangka kerja dan objektif yang sama bagi melakukan perubahan kepada sistem tadbir urus yang regresif dan korup diamalkan Umno-BN,” katanya.

Selain itu katanya, dalam pada Khalil menyerang DAP, beliau seharusnya mengusulkan Pas menarik diri daripada kerajaan Selangor yang turut dianggotai DAP bagi membuktikan Pas parti bermaruah.

“Khalil juga seharusnya lebih jujur dalam menggerakkan Pas. Dalam keghairahan beliau memainkan isu ini saban hari menjadikan DAP mangsa serangan, beliau seharusnya mengusulkan supaya Pas menarik diri daripada kerajaan Selangor yang turut dianggotai DAP.

“Pas akan dilihat lebih bermaruah kerana mempertahankan pendirian lebih daripada jawatan,” katanya.

 

CATEGORIES
TAGS