Khir Baharom saran masjid buat solat jenazah ghaib

Khir Baharom saran masjid buat solat jenazah ghaib

[Sertai Telegram kami untuk berita terikini di t.me/mdateline]

Allahyarham Dr Haron Din

Seluruh umat Islam di Malaysia diseru agar dapat  mengadakan solat jenazah ghaib sebaik sahaja mendapat maklum segala urusan berkaitan pengebumian Mursyidul Am Pas, Allahyarham Datuk Dr Haron Din di Amerika Syarikat (AS) disempurnakan.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Jamil Khir Baharom turut menyarankan kepada semua masjid utama di bawah seliaan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) dan semua masjid serta surau Jumaat di bawah JAWI agar mengambil langkah sama.

“Dengan penuh rasa hiba dan dukacita, negara kita telah kehilangan seorang tokoh yang telah banyak menyumbangkan jasa bakti kepada agama dan negara,” ujarnya dalam satu kenyataan hari ini.

Beliau juga memohon kerjasama Majlis Agama Islam dan Jabatan Agama Islam Negeri-Negeri agar dapat meminta seluruh masjid di negeri masing-masing untuk turut melaksanakan solat jenazah ghaib.

“Justeru itu, saya mengharapkan agar seluruh ahli keluarga Allahyarham bersabar dan tabah dengan ujian ini.

“Saya doakan agar roh Allahyarham Datuk Dr Haron Din  dicucuri rahmat dan ditempatkan bersama golongan yang beriman dan bertaqwa di sisi Ilahi. Al-fatihah,” kata Jamil Khir lagi.

Allahyarham Dr Haron Din dilantik Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Zahid Hamidi sebagai Ketua Kluster Dakwah dalam Majlis Perundingan Islam (MPI), Februari lalu.

Beliau yang bergiat aktif dalam Pas sejak 1974 pernah bertanding dalam Pilihan Raya Umum pada 2004 dan 2008 tetapi tewas kepada calon BN.

TAGS