Komen murni banjiri Facebook Najib, ‘muntah hijau’ tiada

Komen murni banjiri Facebook Najib, ‘muntah hijau’ tiada

[Sertai Telegram kami untuk berita terikini di t.me/mdateline]

Laman Facebook rasmi Perdana Menteri yang diketahui penuh dengan komentar berbaur kecaman dan sindiran dilihat mulai berganti dengan pandangan memuji atau digelar ‘murni’.

Semakan Malaysia Dateline hari ini turut mendapati tiada sama sekali emoji ‘muntah hijau’ memenuhi ruang komentar bagi setiap kali status dan foto yang dimuatnaik dalam akaun media sosial milik Presiden Umno itu.

Perkembangan yang difahamkan berlaku sejak Disember tahun lalu juga dibangkitkan netizen antaranya, Bizz Fx yang menulis, “komen murni-murni je yang tinggal kat sini” manakala Siti Aisyah menyoal, “Apasal komen suci je ni?”

Ruang komentar bagi status Facebook Najib semalam mengenai pengubahsuaian Bajet 2016 itu turut memuatkan reaksi Jep Rosli, “(komen) yang tak berapa murni dah kena remove, kalau tidak berlambak muntah hijau.”

Status Najib pada pukul 1 petang semalam yang disertai dalam versi bahasa Inggeris itu berbunyi, “Baca teks ucapan penuh Perutusan Khas Pengubahsuaian #Bajet2016 YAB Perdana Menteri Najib Razak” diikuti pautan ke laman web beliau.

Alhamdulillah

Semakan Malaysia Dateline setakat pukul 11 pagi hari ini mendapati lebih 400 komen diterima dalam status berkenaan.

Majoriti reaksi bernada ‘murni’ itu hanya merupakan ungkapan ringkas dengan antara paling banyak dilihat ialah ‘Alhamdulillah’ oleh pengguna Facebook yang sebahagian besarnya wanita Melayu.

Antara pelayar yang menulis ucapan itu ialah Noraslinda Abdul Rahman, Aili Nasir, Aisya Humaira, Nur Fardillah, Saliha Daud, Hanani Purple, Hassan Kamal, Ati Adi, Jebat Alauddin Syah, Syed Mohamed Benyahya serta Jimmy Sky.

Pada masa sama, ulasan netizen yang memuji Najib juga banyak dipaparkan seperti Nor Suhaida yang berkata, “Terima kasih bagi BR1M (Bantuan Rakyat 1Malaysia), kenaikan gaji penjawat awam” manakala Shamsinar sekadar menulis, “Perkara baik untuk semua.”

Bahkan ada yang menganggap pelbagai kontroversi membabitkan Najib sebelum ini sebagai fitnah semata-mata.

“Alhamdulillah. Apa yang keluar sebagai fitnah 2-3 minggu ini adalah fitnah semata-mata,” ujar Muhammad Fikri Othman berusia 25 tahun dengan berbaju merah berserta logo Umno Serdang seperti terpapar pada profil Facebook beliau.

Walau bagaimanapun, kritikan terhadap Najib daripada netizen masih wujud tetapi bukan dalam jumlah dominan serta tidak lagi bernada tajam seperti sebelum ini.

TAGS