Komitmen 10 ahli majlis PBT akan kukuhkan Pakatan Harapan

Komitmen 10 ahli majlis PBT akan kukuhkan Pakatan Harapan

[Sertai Telegram kami untuk berita terikini di t.me/mdateline]

Keputusan  kerajaan negeri memberikan 10 kerusi Ahli Majlis Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) kepada Parti Amanah Negara (Amanah)  bukanlah  isu besar sebaliknya komitmen yang diberikan oleh ahli majlis untuk menyumbang kepada pembangunan Selangor dan mengukuhkan Pakatan Harapan di negeri itu lebih diutamakan.

Pengarah Pilihan raya Awan Selangor Mariam Abdul Rashid berkata, apa yang penting komitmen dan khidmat ahli majlis Amanah kepada rakyat.

“Awan Selangor mengucapkan ribuan terima kasih kepada menteri besar yang memberi ruang kepada Amanah berperanan bersama dengan Kerajaan Negeri Selangor di bawah PBT.

“Walaupun bilangan hanya 10 ianya tidak menjadi persoalan. Apa yang penting   ahli majlis dapat memberi komitment dan khidmat mereka untuk menyumbang kepada pembangunan di  Selangor seterusnya mendapat mandat dan sokongan rakyat kepada Pakatan Harapan,” katanya kepada Malaysia Dateline.

Mariam yang juga naib pengerusi Awan turut berkata,  Amanah Selangor dan Pakatan Harapan  turut memilih calon ahli majlis dari kalangan wanita.

“Awan juga mengucapkan ribuan terima kasih kepada Amanah Selangor dan Pakatan Harapan kerana antara yang terpilih adalah calon ahli majlis wanita.

“Jumlah yang sedikit tidak menjejaskan ahli Amanah untuk terus bekerja memajukan negeri Selangor ini dalam masa yang sama meneruskan
perjuangan menentang Umno-BN bersama rakan Pakatan Harapan pada PRU14 nanti,” katanya.

Semalam Pengarah Komunikasi Amanah, Khalid Samad dipetik berkata,keputusan kerajaan negeri menambah dua lagi kuota tambahan berbanding hanya lapan kepada 10 kerusi sangat dihargai Amanah.

Pembahagian kerusi ahli majlis PBT adalah dua ahli majlis di Hulu Selangor, Sabak Bernam, Sepang, Kuala Langat manakala di Kuala Selangor dan Subang , masing- masing seorang wakil Amanah ditempatkan.

Pada awalnya mesyuarat memutuskan lapan kerusi ahli majlis PBT bagi penggal 2016-2017 dibahagikan kepada wakil Amanah.

Namun PKR dan DAP mengorbankan dua kerusi PBT milik parti mereka kepada Amanah menjadikan bilangan kerusi 10.

 

TAGS