Kongres Anak Muda Malaysia:  Khairy perlu buka minda, kata Pemuda Amanah

Kongres Anak Muda Malaysia: Khairy perlu buka minda, kata Pemuda Amanah

[Sertai Telegram kami untuk berita terikini di t.me/mdateline]

Perancangan yang digagaskan oleh Gabungan Anak Muda Demi Malaysia untuk menganjurkan Kongres Anak Muda Malaysia 2017 adalah bertepatan dengan kehendak semasa, kata Ketua Pemuda Amanah Nasional Mohd Sany Hamzan.

Beliau turut melahirkan rasa kekesalan terhadap sikap ditunjukkan Menteri Belia dan Sukan Khairy Jamaluddin (KJ) ketika diminta pandangannya mengenai kongres itu.

“Pemuda Amanah Nasional melahirkan kekecewaan terhadap sikap tidak optimis Menteri Belia dan Sukan Khairy Jamaluddin (KJ) terhadap usaha ini.

“Komentar awal beliau agar sumbangan atau kritikan perlu disalurkan secara positif, jelas merupakan klise politikus kerajaan yang cenderung sangsi dengan kumpulan ‘tidak sekepala’.

“Kami suka untuk menyeru KJ agar buka minda dan positif dengan segala usaha generasi muda termasuklah yang kritikal terhadap kerajaan,” ujarnya dalam satu kenyataan hari ini.

Khairy semalam dipetik berkata beliau mengalukan sumbangan ide dan pandangan gerakan belia termasuk daripada pihak pembangkang dalam pembangunan  negara. Namun ujar beliau lagi, pandangans itu perlulah ke arah perkembangan positif bukan mempunyai agenda tertentu.

Menurut Mohd Sany lagi Pemuda Amanah Nasional menyokong sepenuhnya usaha yang digiatkan ini bagi membangkitkan gelombang anak muda dalam usaha menyelamatkan Malaysia.

“Kongres yang bakal dianjurkan ini akan menjadi pemangkin kepada perubahan secara total seterusnya berjaya mencapai matlamat utama iaitu mengubah pentadbiran negara yang sekian lama dicengkam oleh Barisan Nasional.

“Pemuda Amanah Nasional mengajak semua pihak tanpa mengira bangsa, agama mahupun parti politik untuk memberikan sokongan terhadap kongres yang bakal dianjurkan ini nanti.

“Malaysia sedang menghadapi krisis kepimpinan yang sangat kritikal. Negara ini menjadi perhatian seluruh dunia apabila terpalit dengan skandal mega dan dipimpin secara bebas oleh seorang kleptokrat.

“Suasana negara ketika ini menuntut kepada perubahan dan kebangkitan rakyat khususnya anak muda. Momentum kebangkitan generasi Y ini perlu dijelmakan dan dinatijahkan melalui Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14),” ujarnya.

Semalam aktivis mahasiswa Anis Syafiqah Mohd Yusof merancang  akan mengadakan Kongres Anak Muda Malaysia 2017 yang dijadual akan diadakan pada 17-19 Februari yang akan diselia di bawah sebuah kumpulan yang dikenali sebagai Gabungan Anak Muda Demi Malaysia.

Anis yang juga jurucakap Demi Malaysia berkata beliau mensasarkan 1,000 perwakilan yang terdiri daripada mahasiswa akan menyertai kongres itu.

TAGS