Konsep ASWJ diperluaskan untuk merapatkan perbezaan mazhab

Konsep ASWJ diperluaskan untuk merapatkan perbezaan mazhab

Konsep Ahli Sunnah Wal Jamaah (ASWJ) akan diperluaskan bagi menangani  perbezaan mazhab yang  semakin membesar dan menjurus kepada memecah belahkan perpaduan agamawan dan masyarakat antara resolusi dalam Perhimpunan Agamawan Kebangsaan yang diadakan  hari ini.

Pengerusi Majlis Dakwah Negara (MDN), Prof Emeritus Datuk Dr Mahmood Zuhdi Abdul Majid menjelaskan konsep ASWJ ini telah diwarisi daripada ulama terdahulu itu akan digunakan bagi merapatkan jurang antara agamawan dan masyarakat.

“ASWJ itu adalah kumpulan majoriti besar yang tiada kumpulan untuk memperjuangkan sesuatu.

“Konsep ini perlu dilihat balik untuk merangkumi seluas mungkin supaya sifatnya lebih liberal selagi boleh.

“Jika grup yang ada di luar ASWJ itu menyeleweng itu perkara lain.

“Jika masih berpegang kepada ASWJ kita perlu ada konsultasi dan perlu berpegang kepada usul yang disepakati seperti apa yang cuba dilakukan MDN  terhadap golongan agamawan hari ini,” ujarnya dalam sidang media diadakan.

Beliau bercakap dalam majlis Perhimpunan Agamawan Kebangsaan dengan tema ‘Agamawan Pemangkin Perpaduan Ummah dan Pembangunan Negara’ di Hotel Bangi-Putrajaya, Bandar Baru Bangi hari ini.

Justeru katanya, setakat ini MDN akan memperkukuhkan program dalaman terlebih dahulu dan bekerja dalam ruang lingkup yang tertutup untuk mencapai matlamat menyatukan prinsip asal iaitu menyatukan ummah.

Mengulas mengenai kenyataan Yang Dipertua Yadim Dr Yusri Mohamad yang dipetik berkata, persaingan politik kepartian dalam negara seperti seorang ahli tinju yang sukar ditangani dalam gelanggang politik kepartian untuk elak konflik daripada berlaku.

Mahmood Zuhdi berkata,” kami tidak halang mereka bertinju…harapan kami supaya bertinju ada peraturan. Nak main tomoi ke mesti ada disiplin dan kita harapkan tinju mereka beri kebaikan kepada masyarakat.

“Masalah sekarang ini ialah perbezaan pendapat, pertelagahan yang tidak terkawal. Usaha MDN mengajak mereka menghormati prinsip tinju mereka itu,” ujarnya.

Dalam himpunan yang dihadiri lebih kurang 300 agamawan hari ini, MDN telah mengariskan empat resolusi untuk memastikan matlamat menyatupadukan ummah dan menjadi pemangkin kepada pembangunan negara.

Sebanyak empat resolusi yang telah disepakati dalam Perhimpunan Agamawan Kebangsaan diadakan itu adalah seperti berikut:

1. MDN menyeru semua pemimpin mazhab,kecenderungan keagamaaan dan pemimpin politik umat Melayu dan Islam di negara ini menilai kemba,i cara mereka memperjunagkan pandangan masing-masing.

2. Kesediaan agamawan bersama MDN dalam usaha mengembalikan kewarasan masing-masing dalam menguruskan perbezaan pendapat antara satu sama lain.

3. Merapatkan hubungan antara satu sama lain pada peringkat individu dan organisasi agar berjaya menjadi kumpulan islah yang mempunyai impak tinggi memartabatkan ummah dan membangunkan negara.

4. Akan sentiasa mengikuti perkembangan masalah yang berkaitan dengan perpaduan ummah dan pembangunan negara agar segala penyelewengan berlaku dapat diperbetulkan mengikut prinsip Islam yang ditafsirkan sewajarnya.

Seramai 300 golongan agamawan seluruh negara ini menghadiri perhimpunan hari ini yang dianjurkan MDN dengan kerjasama Yadim, Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim), Persatuan Ulama Malaysia (PUM) dan Majlis Alumni Pengajian Islam Kebangsaan.

Pembentangan usul-usul telah dibincangkan dan dibahaskan bersama di kalangan agamawan yang hadir hari ini yang dipengerusikan oleh Datuk Wan Mohamad Sheikh Abdul Aziz.

Usul-usul yang dibentangkan MDN dibahaskan peserta dikalangan agamawan untuk mencari persepakatan  peranan mereka dalam isu-iu berbangkit antara kumpulan agamawan dengan  pemimpin politik dan masyarakat.-Foto Malaysia Dateline oleh Wan Zahari Wan Salleh.

TAGS