Konsortium tidak berpengalaman bina loji janakuasa solar

Konsortium tidak berpengalaman bina loji janakuasa solar

[Sertai Telegram kami untuk berita terikini di t.me/mdateline]

Konsortium yang dipilih kerajaan bagi membina loji janakuasa 150MW solar skala utiliti di negara ini didapati tidak mempunyai sebarang pengalaman membina dan mengendali loji solar.

Sehubungan itu, Ahli Parlimen Serdang Dr. Ong Kian Ming meminta Kementerian Tenaga, Teknologi Hijau dan Air (KeTTHA) mendedahkan butiran projek berkenaan, termasuk nilai perjanjian yang ditandatangani serta proses pemilihan konsortium tersebut.

Langkah ini, ujarnya perlu bagi memastikan projek itu dijalankan secara telus tanpa dipengaruhi oleh kepentingan peribadi mana-mana pihak.

Menurut kenyataan Tenaga Nasional Berhad (TNB), tiga syarikat di dalam konsortium yang dianugerahkan projek itu adalah Maltech Pro Sdn. Bhd, Cam-Lite Sdn. Bhd dan ItraMAS Technology.

Konsortium itu dipilih secara langsung tanpa tender terbuka oleh KeTTHA, lapor Roketkini.com.

Dr. Kian Ming menjelaskan, Maltech Pro yang terlibat dengan penjualan komputer tablet 1Malaysia pada tahun 2012, menyenaraikan perniagaannya dalam kategori ‘aplikasi mudah alih, peranti dan peralatan’.

“Pemegang saham kepada Maltech Pro juga menimbulkan kebimbangan. Sohaimi Shahadan yang memiliki 35 peratus syarikat itu adalah ahli Majlis Tertinggi Umno.

“Ahmad Zaffy Sulaiman, pemilik 20 peratus syarikat tersebut adalah pemimpin Umno di Shah Alam.

“Adakah ini salah satu sebab mengapa projek ladang solar 150MW itu dianugerahkan kepada konsortium terbabit?” soal beliau.

Pada masa sama, Cam-Lite Sdn. Bhd. yang juga tidak mempunyai laman web rasmi, memperoleh pendapatan sebanyak RM131,359 pada tahun kewangan terakhir 2012 dengan keuntungan hanya RM1,397.

“Ia dimiliki oleh dua pemegang saham iaitu Zainoor bin Sulaiman (90 peratus) dan Zeliza binti Zainoor (10 peratus). Syarikat itu apabila disemak terlibat dalam perdagangan barangan elektronik,” katanya.

Syarikat ketiga iaitu Itramas pula, jelas Dr. Kian Ming, mempunyai tiga bidang perniagaan iaitu dalam sistem pengangkutan pintar (ITS), keselamatan dan pengawasan serta produk lampu LED.

“Syarikat ini mempunyai laman web. Pendapatannya pada 2014 ialah sebanyak RM44 juta dan memperoleh keuntungan RM413,189. Namun tidak ada rekod menunjukkan ia ada pengalaman dalam membina solar,” ujar Penolong Setiausaha DAP Selangor itu.

Beliau juga mahu nilai perjanjian pembelian tenaga (PPA) yang ditandatangani konsortium tersebut dengan TNB didedahkan.

Kian Ming pada Februari lalu menggesa pendedahan nama syarikat-syarikat yang terlibat dalam projek ladang solar 150MW itu.

Ia berikutan tindakan kerajaan memberi hak membina loji 50MW tanpa tender terbuka kepada 1MDB Solar Sdn. Bhd. pada Mei 2014 sedangkan syarikat itu tidak mempunyai pengalaman membina dan mengendali loji solar.

TAGS