Kontraktor balak Pahang didenda RM20,000

Kontraktor balak Pahang didenda RM20,000

[Sertai Telegram kami untuk berita terikini di t.me/mdateline]

Seorang kontraktor balak hari ini mengaku bersalah atas pertuduhan memberi sogokan kepada Renjer Hutan Pahang sebagai dorongan tidak diambil tindakan terhadap aktiviti mengeluarkan kayu balak secara tidak sah pada Oktober 2015.

Menurut kenyataan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Pee Hong Seng, 40, mengaku bersalah di bawah Seksyen 214 Kanun Keseksaan selepas pertuduhan dibacakan pertama kali hari ini.

Hakim Mahkamah Sesyen Khas Rasuah Kuantan, Habibah Mohamed Yusof menjatuhkan denda RM20,000 dan penjara lima bulan jika gagal menjelaskan denda.

Dia kemudian telah menjelaskan denda yang dikenakan.

Pee dituduh melakukan kesalahan lebih kurang pukul 6 petang di Bilik 106, Hotel Inderapura Jerantut, Jerantut pada 22 Oktober 2015 di mana secara rasuah memberi suapan dalam bentuk wang tunai RM10,000 kepada Renjer Hutan, Dahalan Yusof dari Unit Penguatkuasaan Pahang Barat.

Ia dibuat sebagai dorongan tidak menahan atau mengambil tindakan melakukan kesalahan memindah dan mengeluarkan kayu balak atau hasil hutan dari tanah rizab di bawah Seksyen 40(1)(d) Akta Perhutanan Negara 1984 dan dengan itu telah melakukan kesalahan di bawah Seksyen 214 Kanun Keseksaan.

Di bawah Seksyen 214 Kanun Keseksaan, jika sabit kesalahan, tertuduh boleh dihukum penjara tidak sampai 10 tahun atau didenda atau kedua-duanya sekali.

Pendakwaan bagi pihak SPRM dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya Syafinas Shabudin.

TAGS