Kontraktor Korea bina menara atas tapak Stadium Merdeka

[Sertai Telegram kami untuk berita terikini di t.me/mdateline]

Biarpun lima tahun lalu cadangan projek membina menara setinggi 118 tingkat di lokasi yang menempatkan Stadium Merdeka dan Stadium Negara dibantah tetapi kerajaan dilihat tetap berkeras.

Firma pelaburan milik kerajaan, Permodalan Nasional Bhd (PNB) hari ini mengesahkan pelantikan sebuah syarikat hartanah dari Korea Selatan, Samsung C&T sebagai kontraktor pembinaan Menara Warisan.

Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif PNB Tan Sri Hamad Kama Piah Che Othman berkata, nilai bidaan terbabit berjumlah RM3.4 bilion tidak termasuk Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST).

“Samsung C&T, dengan rangkaian kerjasama strategik bersama UEM Group Bhd, telah dipilih,” ujarnya selepas mengumumkan agihan pendapatan bagi Amanah Saham Nasional 3 Imbang (ASN 3) untuk tahun kewangan berakhir 30 November 2015.

Menara Warisan yang dicadangkan oleh PNB ini kali pertama disebut oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak ketika pembentangan Bajet 2011.

Membabitkan keluasan lantai 67.39 hektar, projek mega itu bakal memegang rekod sebagai pencakar langit ketiga tertinggi di dunia.

Kerja-kerja cerucuk bagi pembinaan menara tersebut dilaporkan April lalu telah selesai sepenuhnya dan dijadualkan siap menjelang 2018 manakala kompleks keseluruhan meliputi hotel dan premis komersial dijangka siap sepenuhnya pada 2024.

Gabungan Pertahankan Taman Merdeka Negara yang terdiri daripada 22 NGO sebelum ini menuntut supaya kawasan terbabit diwartakan sebagai Tapak Warisan Kebangsaan di bawah Akta Warisan Negara (2005).

Mereka turut menuntut supaya kerajaan memulangkan Taman Merdeka Negara atau dikenali Taman Tunku kepada rakyat sebagai tapak awam kepunyaan orang ramai seperti dinikmati sebelum kemerdekaan.

 

TAGS