Kontraktor perlu teroka dana RM500 juta untuk IBS, kata Rehda

Kontraktor perlu teroka dana RM500 juta untuk IBS, kata Rehda

[Sertai Telegram kami untuk berita terikini di t.me/mdateline]

Persatuan Pemaju-pemaju Perumahan dan Hartanah Malaysia (Rehda) menggesa kontraktor merebut RM500 juta dana promosi bagi sistem binaan berindustri (IBS).

“Sebaik SME Bank memperoleh kelulusan kerajaan, mereka akan mula membantu syarikat tempatan,” kata Timbalan Presidennya Datuk Soam Heng Choon, dan menambah syarikat wajar tampil ke hadapan untuk memanfaatkan dana berkenaan.

IBS merupakan teknik pembinaan khusus di mana komponen dikilangkan dalam persekitaran yang terkawal, sama ada di dalam atau di luar tapak projek.

Bagaimanapun, teknik itu tidak dilaksanakan secara besar-besaran memandangkan bahan berasaskan IBS adalah lebih mahal berbanding bahan konvensional, katanya selepas penandatanganan Memorandum Kerjasama antara Rehda dan CIDB Malaysia untuk menggalakkan amalan rendah karbon dan lestari dalam perumahan dan industri pembinaan.

Bagi menggalakkan penggunaan IBS dalam sektor pembinaan, kerajaan menyediakan Dana Promosi IBS bernilai RM500 juta, yang ditadbir SME Bank, bagi menyalurkan pinjaman mudah kepada pemaju dan kontraktor yang mengendalikan projek kurang daripada RM5 juta.

“Jika kita memperoleh lebih banyak pihak melaksanakannya (menggunakan IBS). Kita boleh menstandardkan komponen berkenaan dan pada akhirnya harga akan berkurangan,” katanya.

Mengenai unjuran pasaran hartanah tahun ini, Soam berkata ia dijangka perlahan, bukan disebabkan ketiadaan permintaan ke atas hartanah tetapi pembeli gagal mendapatkan pembiayaan yang mereka mahu.

Beliau berkata dalam beberapa kes, pembeli mahu mendapatkan pembiayaan sebanyak 90 peratus sebaliknya mereka hanya ditawarkan 80 peratus oleh institusi kewangan, sekaligus pembeli tidak mampu membeli hartanah berkenaan.

CATEGORIES