Kontraktor Sarawak diberi amaran jangan keterlaluan kritik kerajaan

Kontraktor Sarawak diberi amaran jangan keterlaluan kritik kerajaan

[Sertai Telegram kami untuk berita terikini di t.me/mdateline]

Timbalan Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah Datuk Alexander Nanta Linggi memberi amaran kepada sesetengah kontraktor di negeri ini agar tidak keterlaluan dalam kritikan mereka terhadap kerajaan.

Katanya mereka tidak harus melangkaui batasan dan menunjuk-nunjuk kepada orang lain seolah-olah mereka kebal daripada sebarang tindakan.

Beliau berkata tidak seperti di negeri lain, kontraktor di negeri ini menerima kontrak kerja daripada kerajaan tanpa mengira mereka menyokong Barisan Nasional ataupun tidak.

“Namun ada di kalangan mereka mendabik dada kerana masih boleh mendapat kontrak kerja walaupun kuat mengkritik atau tidak menyokong kerajaan. Jangan melampau, hentikanlah perbuatan itu,” katanya.

Beliau berkata demikian semasa Majlis Penyerahan Bahan Binaan Projek Khas Program Bantuan Rumah Kementerian Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah kepada mangsa kebakaran di Rumah Meruan, Nanga Tada di Kanowit.

Terdahulu, Anggota Dewan Undangan Negeri Ngemah Alexander Vincent dalam ucapannya mengingatkan kontraktor-kontraktor yang melaksanakan projek-projek kerajaan di negeri ini agar memastikan kerja yang mereka lakukan menepati spesifikasi dan jangka masa yang ditetapkan.

Ini bagi memastikan agar kerajaan tidak dipersalahkan di atas kegagalan pihak kontraktor melaksanakan kerja mereka.

“Sering kali apabila sesuatu projek itu tidak dilaksanakan dengan baik ataupun terlewat, kerajaan akan dipersalahkan oleh rakyat, kita tidak mahu perkara ini berlaku,” katanya.

Sekiranya perkara tersebut terjadi katanya, kerajaan boleh mengambil tindakan tidak membayar kontraktor yang terlibat.

Turut hadir Anggota Parlimen Kanowit, Aaron Ago Dagang.

Mangsa kebakaran Rumah Meruan menerima bahan binaan kayu yang bernilai lebih daripada RM360,000 daripada Alexander Nanta pada majlis tersebut.

Rumah sepanjang 35 pintu di Skim Penempatan Semula Nanga Tada itu ranap dalam satu kebakaran pada jam 4.30 petang pada 7 Jun tahun lalu semasa penghuninya berehat selepas meraikan majlis Gawai Sandau Hari di sebelah pagi.

TAGS