Kren tumbang di Masjidil Haram beroperasi tanpa lesen

Kren tumbang di Masjidil Haram beroperasi tanpa lesen

[Sertai Telegram kami untuk berita terikini di t.me/mdateline]

Kejadian kren tumbang yang menimpa dinding Masjidil Haram di Makkah pada September 2015 lalu  menyebabkan 110 orang maut dan  mencederakan 260 yang lain, disahkan beroperasi tanpa lesen, kata seorang jurutera di sebuah mahkamah di Jeddah lapor Agensi.

Jurutera berkenaan adalah sebahagian daripada 14 defendan dari Binladen Group yang sedang dibicarakan berhubung insiden itu.

Syarikat yang terbabit dalam projek pembesaran Masjidil Haram itu, memiliki dan mengendalikan projek berkenaan. Defendan turut berkata kebanyakan pekerja di tapak pembinaan tiada pengetahuan mengenai buku manual yang menjelaskan mengenai kaedah operasi.

“Sebahagian mereka langsung tidak tahu buku ini wujud,” katanya.

Setakat ini mahkamah sudah mengadakan empat sesi termasuk meneliti tiga bungkusan mengandungi lebih daripada 2,500 muka surat laporan mengenai kes itu.

Menurut sumber mahkamah, defendan berdepan beberapa tuduhan termasuk pelanggaran peraturan keselamatan, kecuaian sehingga menyebabkan kematian dan kecederaan kepada ramai orang. Beberapa peguam berkata di bawah sistem Majlis Pertahanan Awam (CDC), hukuman bagi kecuaian adalah mengikut budi bicara yang boleh membawa kepada maksimum penjara enam bulan, denda tidak melebihi SAR30,000 (RM35,850) atau kedua-duanya.

Kejadian itu berlaku semasa hujan lebat kira-kira 5.10 petang waktu tempatan (10.10 malam waktu Malaysia) selepas umat Islam selesai menunaikan solat Asar. Dalam kejadian pada hari Jumaat itu empat rakyat Malaysia terkorban dan dua mengalami kecederaan.

 

TAGS