Krisis MB Kedah: Siapa untung siapa rugi?

Krisis MB Kedah: Siapa untung siapa rugi?

[Sertai Telegram kami untuk berita terikini di t.me/mdateline]

Episod Datuk Seri Ahmad Said yang digugurkan jawatan MB Terengganu pada tahun 2014 adalah anologi terbaik dengan apa yang berlaku di Kedah hari ini.

Tidak kira apa jua bentuk kesudahan episod kemelut Menteri Besar Kedah Datuk Seri Mukhriz Mahathir sama ada beliau mampu bertahan atau digantikan sudah pasti manfaat dan kerugian politik akan diraih oleh pihak tertentu sama ada yang terlibat secara tersurat atau tersirat.

Dalam hal ini menarik untuk diteliti kesan kemelut ini terhadap dua parti politik yang sinonim dengan senario politik Kedah iaitu Umno dan Pas.

Seperti mana senario politik Kelantan dan juga Terengganu, setiap aktiviti politik yang berlaku di Kedah mesti barkait rapat dengan kedua-dua parti ini kerana dari segi asasnya jika Umno mengalami kerugian politik sepatutnya Pas pula yang akan meraih manfaatnya.

Andaian ini berasaskan kepada kepercayaan bahawa sentimen pengundi Kelantan, Terengganu dan juga Kedah yang bukan ahli parti akan menjerumus kepada parti yang tidak mempamirkan kekalutan dan krisis dalaman parti.

Kekuatan Umno dan Pas di ketiga-tiga negeri ini lazimnya menuruti sifat jika tiada krisis dalaman maka parti tersebut akan meraih sokongan yang lebih banyak.

Andaikata Mukhriz mampu bertahan amat sukar beliau mentadbir bukan sahaja kerana kehilangan sokongan sebahagian besar Adun BN tetapi juga yang amat kritikal adalah beliau juga tidak mempunyai sokongan parti kerana pendirian sebahagian besar Ketua Bahagian Umno adalah begitu jelas sekali.

Walaupun Mukhriz mempunyai jentera kerajaan negeri, tetapi politik Malaysia memerlukan sokongan parti kerana kerajaan adalah parti dan begitu juga sebaliknya.

Senario sebegini adalah yang terbaik bukan sahaja kepada Pas tetapi dua parti lagi yang mempunyai wakil Adun iaitu DAP dan PKR. Gabungan ketiga-tiga Adun pembangkang ini walaupun tidak mempunyai majoriti walaupun ditambah dengan Adun BN yang menyokong Mukhriz, mampu memporakperandakan pentadbiran kerajaan negeri. Kucar-kacirnya pentadbiran kerajaan negeri sudah pasti rakyat akan menyalahkan Umno dan ini akan menguntungkan parti pembangkang Kedah.

Senario Mukhriz kekal sebagai MB adalah manfaat politik paling berharga bagi parti pembangkang kerana mereka tidak perlu mendesak supaya DUN dibubarkan.Ini adalah kerana selagi episod MB Umno yang tidak mendapat sokongan Adun dari parti sendiri berpanjangan ini adalah sebaik-baik senario untuk parti pembangkang meraih sokongan pengundi Kedah.

Sebab itu Umno tidak akan membiarkan senario diatas berpanjangan dan seboleh-bolehnya akan mempercepatkan pertukaran MB.

Dalam hal ini calon MB adalah begitu sensitif sekali kerana bukan sahaja mesti diterima Umno Kedah tetapi juga mesti diperkenan pihak istana.

Sebab itu parti pembangkang terutama sekali Pas perlu mengatur strategi bagaimana untuk meraih manfaat politik dari kemelut politik Kedah berdasarkan senario kedua iaitu pertukaran MB tetap akan berlaku.

Cuma congakan yang perlu diteliti oleh kepimpinan Pas adalah siapa bakal MB tersebut kerana tiga calon yang disebut-sebut bakal menggantikan Mukhriz memerlukan strategi yang agak berlainan kerana penerimaan rakyat dan ahli Umno Kedah wujud perbezaan ketara diantara ketiga-tiga calon tersebut.

Tetapi hakikatnya adalah senario politik Umno Kedah pasti akan menjadi lebih positif selepas pertukaran MB kerana kemelut Mukhriz ini sudah terlalu lama berlanjutan sehingga tidak keterlaluan jika diungkapkan bagaikan telah melumpuhkan jentera parti tersebut.

Dalam keadaan sebegini jika pilihanraya negeri diadakan ketika ini, maka besar kemungkinan BN akan kehilangan Kedah.

Jika ditinjau bagaimana pantasnya episod Mukhriz kehilangan sokongan dari ahli parti sendiri, maka disandarkan kesan negatif terhadap Umno berpunca dari kemelut ini besar kemungkinan akan berakhir dalam masa terdekat.

Sebab itu juga disandarkan manfaat politik kepada Pas adalah agak minimum kerana sukar bagi Pas untuk mengatur strategi jika kemelut berlalu dengan pantas.

Dari segi strateginya Pas tidak sepatutnya mencampuri kemelut Umno ini jika meraih manfaat politik adalah objektifnya.

Ini adalah kerana Mukhriz dinilai tidak mempunyai sokongan majoriti kepimpinan dan ahli Umno Kedah yang menyebabkan begitu sukar untuk Pas mencampuri kemelut ini tanpa memberi sokongan kepada Mukhriz.

Sokongan Pas kepada kepimpinan Mukhriz tidak akan memberi manfaat kepada Pas kerana selama ini parti ini banyak mengkritik kepimpinan MB dan sudah pasti PAS tidak mahu di tuduh sebagai meneguk di air keruh atau dalam ungkapan mudahnya sebagai parti hipokrit.

Episod Datuk Seri Ahmad Said yang digugurkan jawatan MB Terengganu pada tahun 2014 adalah anologi terbaik dengan apa yang berlaku di Kedah hari ini. Umno Terengganu berada dalam kedaan yang agak lemah ketika era Ahmad Said menjadi MB kerana masalah dalaman parti.

Tetapi setelah diganti dengan Datuk Razif Abdul Rahman, Umno Terengganu dikatakan telah pulih dengan kekuatan asal. Pas pada ketika itu gagal meraih manfaat politik kerana seperti mana Mukhriz, Ahmad Said juga gagal mendapat sokongan majoriti ahli Umno Terengganu.

Strategi Umno selama ini tidak mahu membabitkan pihak istana yang terdiri dari Sultan Kedah dan juga Jemaah Pemangku Sultan Kedah kerana kemelut ini dianggap sebagai masalah dalaman parti politik.

Tetapi apabila Mukhriz mendakwa bahawa Sultan Kedah telah murka dengan tindakan cuba menyingkirkan beliau sebagai MB, maka strategi Mukhriz ini dikatakan memasuki fasa baharu dan kemungkinan senjata terakhir Mukhriz mempertahankan jawatan beliau.

Menarik untuk diperhatikan bagaimana Umno dan Pas dengan susulan tindakan mereka ekoran strategi Mukhriz ini yang mungkin boleh membantu beliau atau pun akan memakan diri sendiri.

TAGS