Krisis Umno Kedah peritkan lagi derita rakyat, kata Amanah

Krisis Umno Kedah peritkan lagi derita rakyat, kata Amanah

Parti Amanah Negara (Amanah) Kedah memberi amaran kepada Umno agar tidak mengheret rakyat ke dalam krisis politik yang dicipta mereka.

[Sertai Telegram kami untuk berita terikini di t.me/mdateline]

Dr Ismail SallehParti Amanah Negara (Amanah) Kedah memberi amaran kepada Umno agar tidak mengheret rakyat ke dalam krisis politik yang dicipta mereka.

Pengerusi Amanah Kedah Datuk Dr. Ismail Salleh berkata, Umno harus menyelesaikan perebutan kuasa dalam parti mereka tanpa menambahkan kerungsingan rakyat yang sudah terbeban dengan kos sara hidup.

“Di tengah-tengah rakyat dilanda masalah ekonomi, dengan majoriti rakyat Kedah berpendapatan rendah dengan beberapa kawasan seperti Sik, Pendang, Padang Terap, penoreh getah ramai, ada petani, nelayan, penjaja tertekan dengan ekonomi yang teruk, sekarang nak dibebankan dengan krisis politik.

“Krisis politik ini mereka yang buat. Adalah sangat tidak adil krisis politik nak dipanjangankan pula kepada rakyat Kedah,” kata beliau kepada Malaysia Dateline.

Dr Ismail berkata demikian ketika diminta mengulas tindakan sekumpulan pemimpin Umno Kedah yang mendakwa hilang kepercayaan terhadap Menteri Besar,
Datuk Seri Mukhriz Mahathir.

Mereka meminta Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak membuat perubahan di dalam kepimpinan yang dipegang oleh Mukhriz dengan alasan Mukhriz gagal
dalam mentadbir parti dan negeri itu.

Dr Ismail juga mendakwa, krisis politik tersebut sengaja dicipta untuk menutup isu besar yang berlaku dalam negara seperti skandal 1MDB dan Perjanjian Perkongsian Trans-Pasifik (TPPA) yang mendapat bantahan banyak pihak.

“Macam main papan catur. Caturnya Najib dan Mukhriz. Najib buang (Tan Sri) Muhyidin (Yassin), (Datuk Seri Mohd) Shafie Apdal, Peguam Negara, Najib dah
makan, akhirnya dia checkmate (Tun Dr.) Mahathir (Mohamed) dan anak dia, Mukhriz.

“Ini krisis urus tadbir dan politik yang mereka buat. Ini lanjutan daripada masalah 1MDB yang masih diperkata rakyat dan isu-isu lain,” katanya lagi.

Justeru beliau berkata, Amanah Kedah tidak mahu masuk campur dalam krisis Umno BN di negeri itu sebaliknya mahu mereka menyelesaikannya mengikut lunas
undang-undang.

“Ini masalah rumah tangga mereka biar mereka selesai sendiri tetapi mesti mengikut lunas undang-undang dan perlembagaan.

“Sama ada nak panggil sidang tergempar untuk undi tak percaya terhadap Mukhriz atau sebagainya, silakan tetapi jangan menyusahkan rakyat,” katanya.

Beliau juga tidak bersetuju jika pembubaran Dewan Undangan Negeri (Dun) berlaku kerana ia akan melibatkan pilihan raya dan seterusnya membabitkan
dana awam.

“Kalau pilihan raya akan bebankan rakyat dengan banyak perkara. Guna dana awam, duit rakyat.

“Kalau berlaku pertukaran menteri besar pun biar secara teratur dan tidak menjejaskan kakitangan di peringkat kerajaan negeri, biar mereka boleh buat kerja seperti biasa,” katanya.

TAGS