KTMB Komuter makin teruk, ramai terlepas tren tunggu lagi sejam

KTMB Komuter makin teruk, ramai terlepas tren tunggu lagi sejam

[Sertai Telegram kami untuk berita terikini di t.me/mdateline]

Sistem tiket baharu bagi Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) Komuter yang berkuatkuasa semalam atau lebih tepat pukul 3 petang masih menyaksikan penumpang terus merungut kerana terpaksa beratur panjang.

Pengguna Azuan Ab Rahman berkata, pengurusah KTMB Komuter dilihat masih lemah dalam melaksanakan aplikasi sistem tiket terutama token yang sudah lama digunakan.

“Punyalah banyak mesin jual token. Satu pun tak boleh pakai. Orang kena beratur panjang. Buang masa beli token. Berapa ramai terlepas tren hari ini (lewat petang semalam) sebab beratur panjang?

“Kena tunggu lagi sejam. Tak faham betullah KTMB yang dipengerusikan oleh ‘orang Umno’ ini. Empat tahun lagi nak masuk tahun 2020 tapi sistem pengangkutan negara dijahanamkan Najib dan Hamid Albar (Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat),” keluhnya pada status Facebook beliau.

Mengulas lanjut, Azuan ketika dihubungi Malaysia Dateline menyifatkan dakwaan Perdana Menteri sebelum ini kononnya kualiti pengangkutan awam akan bertambah baik hanya ‘ke laut’.

“Dia (Najib Razak) cakap zaman dia pengangkutan awam lagi bagus. Nak beritahu Najib, zaman dialah pengguna pengangkutan awam lagi susah.

“Najib mungkin boleh bodohkan orang kampung yang mendengar ucapannya di Buletin TV3 tapi Najib tidak boleh tipu pengguna pengangkutan awam yang sudah muak dengan masalah pengangkutan awam di negara ni,” bidasnya lagi.

Sistem kononnya baru tetapi pengguna jadi tambah lama beratur.Selain token, notis di kaunter Komuter KTM juga memaklumkan sistem tiket baharu hanya menggunakan Kad Komuter Link dank ad Touch ‘n Go sahaja.

Pengguna juga diberitahu supaya memastikan baki minimum RM6 pada Kad Komuter Link bagi memudahkan perjalanan.

Walaupun tambang komuter naik sehingga maksimum RM7.10 berkuatkuasa 2 Disember lalu, mutu servis masih di tahap tidak memuaskan dengan paling ketara kelewatan ketibaan komuter di destinasi berbanding jadual asal.

Pada pagi hari bekerja 18 April lalu contohnya, pengguna perkhidmatan rel itu mengamuk di media sosial apabila perjalanan ke destinasi masing-masing tergendala sehingga dua jam.

TAGS