Kuasai kemahiran memimpin sebahagian tuntutan amanah

Kuasai kemahiran memimpin sebahagian tuntutan amanah

[Sertai Telegram kami untuk berita terikini di t.me/mdateline]

 

Ketika Rasulullah s.a.w. ditanya oleh seseorang bila akan tiba hari kiamat, baginda mengambil masa untuk menjawabnya.

Akhirya baginda menyebut:”Apabila dipersia-siakan amanah maka nantikanlah saatnya.” Lalu sahabat itu bertanya lagi, bagaimana ia dipersia-siakan?”

Jawab Rasulullah s.a.w :”Apabila diserahkaan urusan kepada mereka yang bukan ahlinya maka tunggulah saatnya.”

Ibnu Rajab dan beberapa ulama lainnya dalam mensyarahkan hadis ini mengatakan kiamat tidak akan berlaku melainkan apabila golongan yang tidak layak memimpin diangkat menjadi pemimpin. Lantas pemimpin itu mensia-siakan amanah yang diberikan.

Maka berlakulah kerosakan dan huru-hara bagaikan kiamat rasanya.

Apakah peranan dan ciri-ciri pemimpin yang mesti ada agar mereka dapat melaksanakan tugas memimpin dan tidak tergolong dalam golongan memecah amanah apabila dia gagal?

Kadangkala ada yang cuba melaksanakan amanaah memimpin tetapi sebaliknya mereka bukan ahli dalam memimpin.

Kepimpinan adalah proses mempengaruhi ahli untuk bertindak atau melakukan sesuatu ke arah mencapai objektif bersama.

Berdasarkan kajian dikalangan pakar kepimpinan dan pengalaman pemimpin organisasi yang berjaya antara ciri-ciri yang mesti ada pada pemimpin adalah:

1. Mampu membaca dan menelah masa hadapan.
2. Mempunyai misi dan visi yang jelas.
3. Mampu mengurus perbezaan dan diversiti.
4. Bijak berkomunikasi dan pandai berkawan.
5. Sentiasa bermotivasi dan mampu mendorong orang lain.
6. Bijak menghargai dan mengiktiraf pengikut dan ahli.
7. Tidak mudah terpengaruh atau berubah-ubah.
8. Sudi mendengar dengan baik.
9. Mahir membuat keputusan berdasarkan opsyen yang dibina.
10. Pandai mengolah, fasih berbicara dan pintar berdebat atau berhujah.
11. Cepaat menghidu helah musuh.

Seorang yang alim dalam agama belum pasti mampu menguasai ‘tools’ dan kemahiran dalam memimpin.

Lebih buruk jika pemimpin bidang agama mudah rasa tercabar atau tersinggung apabila ada pengikutnya lebih berkemahiran dalam memimpin dan cuba membantu.

Sebaliknya orang yang menguasai ilmu kepimpinan biasa sahaja bersedia untuk merujuk dan menerima bimbingan seorang alim dalam bidang agama.

Malaysia kini semakin berpotensi kerana semakin banyak pemimpin organisasi Islam yang menjadi pakar berbagai bidang menguasai ‘tools’ dan kemahiran memimpin dan pada masa yang sama bersikap terbuka dan bersedia menerima tunjuk ajar daripada ulama dan agamawan.

Apa yang lebih merisaukan ummah adalah keadaan di mana organiasi yang dipimpin oleh ulama tetapi tidak mahu mendengar nasihat ahli, terlalu ego dengan ilmunya, mudah marah, memaki hamun, mungkir janji, tidak pandai berkawan dan bergaul mesra, berubah-ubah pendirian, hatta mudah terperangkap dengan helah musuh.

Tunggulah saat kemusnahan bahkan keadaan yang kelam-kabut dalam organisasi jika orang seperti itu tidak bersedia untuk dipimpin oleh mereka yang benar-benar berkeahlian dalam kepimpinan.

Maka lantaran itu Parti Amanah Negara (Amanah) terus berusaha untuk melahirkan sepasukan pemimpin negara daripada berbagai kepakaran sama ada pada tahan strategik atau operasional yang bersatu tenaga demi menukar pimpinan negara yang sudah jauh tersasar melalui satu sistem demokrasi yang telus bersih dan adil.

Terima kasih kepada rakyat Malaysia kerana sudi mengenali dan menyokong usaha mulia ini.

*Hasanuddin Mohd Yunus adalah Naib Presiden Parti Amanah Negara (Amanah).

CATEGORIES