Kuatkuasakan kajian terperinci alam sekitar perlombongan bauksit

Kuatkuasakan kajian terperinci alam sekitar perlombongan bauksit

Satu laporan Penilaian Terperinci Impak Alam Sekitar (DEIA) perlu dilakukan meliputi seluruh kawasan yang terlibat dengan aktiviti perlombongan dan pengeksportan bauksit, tegas Ahli Parlimen Kuantan, Fuziah Salleh.

Beliau berkata, langkah tersebut dilihat penting memandangkan operasi berkenaan sebelum ini menyaksikan tahap pencemaran serius sehingga menjejaskan kualiti alam sekitar dan kesihatan penduduk setempat.

“Kita juga tidak mahu masalah sama akan berulang jika perlombongan mineral itu diteruskan selepas tamat tempoh penangguhan atau moratorium yang dijadualkan berakhir pada April depan.

“Lagipun setakat ini, kita belum dengar apa-apa lagi tentang tapak ‘central stockpile’ sama ada sudah dikenal pasti atau belum.

“Kalau sudah dikenal pasti, saya ingin gesa DEIA dilaksanakan merangkumi kawasan yang terbabit dengan pemunggahan bauksit,” ujarnya ketika dihubungi Malaysia Dateline hari ini.

Menurut Fuziah, aspek pematuhan peraturan dan undang-undang berkaitan alam sekitar tidak harus hanya indah khabar dari rupa sahaja.

“Sekarang ini Perintah Alam Sekitar Ogos 2015 mengatakan bahawa EIA perlu ke atas lombong seluas 20 hektar ke atas, tapi saya difahamkan ada lombong yang sudah ada lesen dan sekiranya sambung semula ianya tak perlukan EIA (Penilaian Impak Alam Sekitar),” jelasnya.

Mengulas reaksi Menteri Sumber Asli dan Alam Sekitar Datuk Seri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar semalam yang berpuas hati dengan operasi sepanjang bulan pertama tempoh moratorium perlombongan bauksit di Kuantan, beliau berkata, tempoh tersebut tidak mustahil akan dilanjutkan berdasarkan perkembangan semasa kerja-kerja mengosongkan sepenuhnya longgokan bauksit di Pelabuhan Kuantan.

Hal ini, ujarnya turut disahkan pihak syarikat Jauhari Permai Sdn Bhd sebelum ini yang dilaporkan memerlukan tempoh antara tiga hingga lima bulan bagi mengangkut kesemua stok bauksit di pelabuhan itu.

“Mengikut kiraan saya masih berbaki 1.6 tan metrik (bauksit) lagi di pelabuhan 10 hari selepas moratorium fasa satu berakhir walaupun Wan Junaidi memberitahu pihak pelabuhan memberi jaminan akan mengeluarkan baki 1.4 tan metrik simpanan mineral itu dalam sebulan setengah di seluruh Kuantan,” tambah Fuziah lagi.

TAGS