Kubur Melayu murtad: Netizen kecam Pesuruhjaya Pas Terengganu

Kubur Melayu murtad: Netizen kecam Pesuruhjaya Pas Terengganu

[Sertai Telegram kami untuk berita terikini di t.me/mdateline]

Tanpa memeriksa perkara sebenar di sebalik kewujudan sebuah kubur berlambang salib dengan nama yang tertera “Rozita bt Othman”, Pesuruhjaya Pas Terengganu, Saiful Bahri Mamat dihujani kecaman netizen.

Ustaz Pas itu dalam catatan di Facebook beliau semalam mendakwa kononnya kubur di Perkuburan Kristian dekat Taman Gelora Kuantan itu adalah kes orang Melayu murtad dengan turut menulis “bala besar bagi umat Islam di Tanah Melayu”.

Walau bagaimanapun, rata-rata komentar netizen mengutuk Saiful kerana tidak menyiasat terlebih dahulu bahkan cenderung mengapi-apikan sentimen agama.

Walaupun beliau kemudiannya meminta maaf di atas kenyataannya itu tetapi ramai pengguna media sosial terus menyelar sikapnya yang dianggap memalukan individu bergelar ustaz.

Kubur penganut Kristian yang disalah sangka sebagai orang Melayu murtad“Admin dimaklumkan bahawa simati merupakan Orang Asli yang beragama Kristian yang namanya nama Melayu. Maaf. Wallahuaklam,” dipetik daripada Facebook beliau.  

Setakat pukul 12 tengah hari tadi, status Facebook Saiful itu yang dimuat naik pukul 8.53 pagi semalam dibanjiri sebanyak 1,500 komentar dengan 1,800 perkongsian.

Sebahagian besar kritikan terbabit dipercayai daripada masyarakat majmuk Sabah dan Sarawak.

Antaranya, netizen Mami Bunga yang menasihatkan orang Pas nombor satu di Terengganu itu supaya lain kali jangan jadi katak di bawah tempurung.

“Macam kami di Sabah, nama Sarima, Sakina, Suhaili, Laila, Munah, Fauziah, agama semua Kristian. Suami saya sendiri Hairy bin Masree juga Kristian.

“Mama bapa Kristian. Kawan saya Fauziah binti Abil pun Kristian termasuk semua ahli keluarga,” ujarnya di ruangan komentar pada status kontroversi pemimpin Pas dari negeri asal Presiden parti itu.

Begitu juga halnya dengan Pilip Obet Aminn yang berkata, “Siasatlah dulu. Bangsa Melanau Kristian kat Sarawak pun pakai binti atau bin” manakala Fabian Fabian memberitahu pelbagai kaum sekaligus nama wujud di Sarawak tidak pula menimbulkan masalah.

“Buta budaya buta adat. Tak tau keturunan bangsa lain jangan pandai bercakap. Otak ada letak kat lutut. Inilah yang nak perosak bangsa dan negara,” kecam Fabian lagi.

Bahkan, gesaan supaya Saiful bertaubat menghentikan sekarang bentuk fitnah juga disuarakan ramai netizen antaranya, Shuk Rocco.

“Memfitnah dan membuat-buat cerita tak betul tu pun boleh mendatangkan bala besar pada umat Islam. Bertaubatlah ustaz oiii…,” tulisnya.

Sementara itu, Mohe Zaine Jaafar berkata, “Ini ustaz tiada rujukan dengar cakap. Memang ramai Orang Asli guna bin dan binti tapi bukan Islam. Pejabat Pendaftaran yang benarkan. Inilah orang Islam keliru. Ustaz ini tak nak siasat. Ustaz akhir zaman,” bidasnya lagi.

TAGS