Kumpulan baju merah mahu berhimpun tolak Deklarasi Rakyat

Kumpulan baju merah mahu berhimpun tolak Deklarasi Rakyat

[Sertai Telegram kami untuk berita terikini di t.me/mdateline]

Pengerusi Gabungan NGO Selangor Datuk Jamal Yunos, bercadang untuk mengadakan perhimpunan dan menyerahkan memorandum bantahan  menolak Deklarasi Rakyat  kepada bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad yang bergabung dengan pemimpin pembangkang  pada 4 MAc lalu.

Jamal yang terkenal dengan himpunan ‘baju merah’ anti-BERSIH tahun lalu, akan mengadakan perhimpunan besar menentang deklarasi rakyat itu dengan membawa 5,000 orang daripada 400 NGO di seluruh negara dalam sebuah himpunan dijangka minggu depan.

Bagaimanapun, lokasi dan waktu himpunan terbabit masih belum diputuskan.

“Kita membantah sekeras-kerasnya apa yang dilakukan oleh Mahathir. Ini memberikan suasana yang tidak baik dalam negara kita

“Kita akan buat satu perhimpunan dan kita jangkakan 5,000 orang atau pun lebih daripada 400 NGO akan terlibat dalam menghantar memorandum ke tangan Tun M sendiri,” kata Jamal ketika dipetik Malaysiakini.

Katanya, malam tadi lebih 150 wakil NGO di Selangor telah mengadakan perhimpunan menolak deklarasi itu di bangunan Umno negeri di Shah Alam.

Jamal dipetik berkata apa pun perbezaan pendapat yang berlaku hari ini ia boleh diubah melalui pilihan raya.

“Jika tidak suka kerajaan tunggu pilihan raya.

“Apa pun yang berlaku Malaysia mengamalkan demokrasi, kerajaan boleh diubah melalui pilihan raya.

“Pilihan raya akan berlaku dalam tempoh tidak lebih dua tahun, jika Mahathir mahu terlibat dalam politik mungkin beliau boleh bertanding dalam mana-mana pilihan raya.

Kata Jamal lagi, sebagai orang cerdik pandai Mahathir dan kepimpinan pembangkang seharusnya bergabung dan mencari jalan penyelesaian terhadap situasi negara kini.

“NGO muak dengan polemik yang melampaui batas. Sepatutnya dalam situasi ekonomi global sekarang pembangkang dan kerajaan harus memikirkan cara-cara untuk menanganinya dan membantu rakyat.

“Pembangkang atau orang cerdik pandai seperti Mahathir perlu berfikir untuk membantu kerajaan bagaimana untuk membantu rakyat supaya rakyat yang tidak dibebani dan bukan untuk menjatuhkan PM,” tegas Jamal.

TAGS