Mujahid dan Amanah ke pejabat Mufti Wilayah Persekutan hari ini

Mujahid dan Amanah ke pejabat Mufti Wilayah Persekutan hari ini

Parti Amanah Negara (Amanah) dengan diketuai naib presidennya, Datuk Dr Mujahid Yusof Rawa akan mengadakan kunjungan hormat ke Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan pagi ini untuk berdialog dan merapatkan hubungan antara mereka.

[Sertai Telegram kami untuk berita terikini di t.me/mdateline]

Parti Amanah Negara (Amanah) akan mengadakan kunjungan hormat ke Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan pagi ini untuk berdialog dan merapatkan hubungan antara mereka.

Delegasi Amanah akan diketuai naib presidennya, Datuk Dr Mujahid Yusuf Rawa bersama naib ketua Pemuda, Shazni Munir Mohd Ithnin serta pimpinan Amanah yang lain.

Sesetengah pihak akhir-akhir ini mengecam Dr Mujahid yang menegur tulisan Mufti Wilayah, Datuk Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri berhubung Rang Undang-undang (RUU) 355.

Ini berikutan saranan Dr Zulkifli agar semua Ahli Parlimen khususnya yang beragama Islam menyokong RUU 355 yang dijadual dibentangkan di Dewan Rakyat, Oktober ini.

Seruan itu dipetik dari tulisan terbaharu beliau dalam Bayan Linnas bertajuk ‘Isu Cadangan Pindaan Akta 355: Satu Pendapat’ di portal rasmi Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan.

Dr Zulkifli berpendapat, RUU 355 itu mesti disokong kerana dibentang oleh wakil rakyat yang membawa aspirasi para pengundi Islam yang mahukan pemerkasaan Mahkamah Syariah di Malaysia dan menunjukkan tanggung jawab seorang ahli Parlimen yang juga mewakili keperluan dan kebajikan rakyat beragama Islam.

Ekoran itu Dr Mujahid mengingatkan Dr Zulkifli  agar tidak menggunakan kedudukannya sebagai Mufti dalam menjatuhkan hukum wajib atau tidak berkaitan urusan undang-undang kerana setiap rang undang-undang yang dibentangkan di Parlimen perlu melalui proses perbahasan.

Sebelum ini, dalam kenyataannya, Pemuda Amanah berpendirian bahawa jalan dialog adalah langkah terbaik untuk memahami konteks sebenar pandangan yang telah dikemukakan pihak mufti.

Ketua Pemuda Nasional, Sany Hamzan berkata, bagi tujuan itu satu pertemuan akan diaturkan melibatkan Pemuda Amanah dan Mufti Wilayah Persekutuan berkaitan pandangan Mufti tentang pembentangan RUU 355.

“Pemuda Amanah mengucapkan setinggi-tinggi penghargaan terhadap Mufti Wilayah Persekutuan atas pandangan beliau terhadap usul pindaan Akta 355 yang dikemukakan oleh Ahli Parlimen Marang dalam sidang Parlimen baru-baru ini,” katanya.

Bagi pihak pemuda katanya, usaha memperkasakan perundangan syariah ini biarlah benar-benar bebas daripada percaturan politik pemerintah.

“Semoga pertemuan ini terealisasi dan beroleh hikmah sebagaimana yang dihasratkan,” katanya.

Pemuda Amanah berpendirian bahawa jalan dialog merupakan langkah terbaik untuk memahami konteks sebenar pandangan yang telah dikemukakan pihak mufti.

Sebelum ini, Amanah menyatakan persetujuan mereka agar taraf Mahkamah Syariah dinaikkan namun usul RUU 355 yang dibawa oleh Abdul Hadi itu perlu diperjelaskan lagi kerana banyak kekeliruan timbul dari usul persendirian itu.

TAGS