Kurang ilmu, gagal urus emosi faktor belia terjebak ekstremisme

Kurang ilmu, gagal urus emosi faktor belia terjebak ekstremisme

[Sertai Telegram kami untuk berita terikini di t.me/mdateline]

Kurang ilmu dan gagal mengurus emosi merupakan antara faktor generasi muda mudah terpengaruh dengan kumpulan pelampau atau ekstremisme, kata Presiden Pertubuhan Belia Perdana, Suhail Mohamed Kamaruddin.

Beliau berkata pemahaman mengenai makna jihad yang telah dipesongkan oleh golongan militan menyebabkan mereka terjebak dengan ideologi ekstremis yang ingin mengubah dunia mengikut jalan mereka sendiri.

“Jihad mempunyai maksud yang luas mencangkupi usaha bersungguh-sungguh dan ia tidak menjurus kepada peperangan atau pertempuran.

“Usaha gigih itu mesti melalui jalan yang adil dan aman, bukannya ganas atau zalim,” katanya ketika menjadi tetamu dalam program Ruang Bicara terbitan Bernama News Channel malam tadi.

Menurut Suhail, perasaan marah yang melampau terhadap ketidakadilan dunia turut mendorong belia memilih jalan radikal untuk menegakkan keadilan dari perspektif mereka, selain menunjukkan protes.

“Apabila berlaku penindasan, contohnya terhadap rakyat Palestin, ada golongan muda mengambil langkah untuk cuba membetulkannya sendiri.

“Kalau dilihat mereka yang terlibat dalam ekstremisme ini,ia merupakan individu yang mempunyai potensi untuk menyumbang sesuatu, namun jalan dan cara yang mereka pilih itu kurang tepat,” katanya.

Justeru, beliau meminta pakar agama agar lebih aktif dalam memberi pencerahan mengenai makna sebenar jihad dalam usaha membendung golongan muda daripada memperjuangkan sesuatu yang sia-sia.

TAGS