Serap kurikulum Pasti dalam pendidikan prasekolah, saran ahli Parlimen Belia

Serap kurikulum Pasti dalam pendidikan prasekolah, saran ahli Parlimen Belia

Ahli Parlimen Belia mencadangkan agar kerajaan melihat kurikulum Pusat Asuhan Tunas Islam (Pasti) dan tadika swasta di negara ini untuk mengisi kelompongan kurikulum pendidikan pra sekolah di bawah seliaan Kementerian Pendidikan Malaysia dan agensi kerajaan.

[Sertai Telegram kami untuk berita terikini di t.me/mdateline]

Muhammad Faez IdrusAhli Parlimen Belia mencadangkan agar kerajaan melihat kurikulum Pusat Asuhan Tunas Islam (Pasti) dan tadika swasta di negara ini untuk mengisi kelompongan kurikulum pendidikan pra sekolah di bawah seliaan Kementerian Pendidikan Malaysia dan agensi kerajaan.

Persidangan Parlimen Belia hari kedua, membawa usul Jawatankuasa Pembangunan Masyarakat dan Kesihatan yang mencadangkan agar kerajaan menyelaras semula peranan sedia ada kementerian dan agensi berkaitan urusan taska dan tadika serta pra sekolah awam untuk menangani ketidakseimbangan penyediaan perkhidmatan tersebut.

Pembahas Ahli Parlimen Belia dari Perlis Muhammad Faez Idrus berkata, kebanyakan masyarakat telah menunjukkan minat untuk menghantar anak mereka ke Pasti dan Smart Readers Kids berbanding Tadika/ Tabika Kemas atau Perpaduan di negara ini.

“ Sebenarnya terdapat kurikulum sesuai yang boleh dipelajari di peringkat pra sekolah di bawah pengurusan Pasti dan Smart Readers yang tidak ada ditawarkan kurikulum sama di Tadika Kemas dan Perpaduan.

“Saya nampak kelompongan di pihak kerajaan dalam penyediaan pendidikan pra sekolah yang seimbang.

“Kelompongan berlaku disebabkan kita nampak pihak yang membawa ‘panji parti’ seperti Pas yang menubuhkan Pasti, kita buang terus walaupun dari satu sudut ada kebaikan untuk perkembangan pendidikan anak-anak pra sekolah.

“Sebahagian masyarakat pula tidak pernah hantar anak atau selidik apa kaedah pengajaran yang dilaksanakan di situ, inilah situasi yang sedang terjadi dalam masyarakat dan kerangka pendidikan negara kita,” ujarnya.

Mohd Aishamuddin SabariWakil Perlis Mohd Aishamuddin Sabari pula berhujah, isu keyakinan ibu bapa terhadap kualiti pra pendidikan awal kanak-kanak yang membawa nilai keIslaman sejak akhir-akhir ini semakin meningkat.

“ Kurikulum pra sekolah yang ada penerapan nilai Islam menjadi pilihan utama ibu bapa Islam di negara ini. Namun jika ibubapa ada keyakinan ‘politik’ akan menghantar anak mereka di tadika/ tabika Kemas dan Perpaduan berbanding Pasti yang diurus oleh sebuah parti politik.

“Sudah tiba masanya kerajaan membetulkan persepsi dan menyediakan garis panduan selaras dikenakan dalam institusi pra sekolah sama ada di bawah seliaan kementerian pendidikan atau agensi kerajaan atau membabitkan pra sekolah yang diuruskan sebuah parti politik seperti Pas yang menubuhkan Pasti dan pusat pendidikan pra sekolah yang diuruskan pihak swasta yang wujud bagai cendawan tumbuh hari ini,” ujarnya.

Malah beliau mendakwa , terdapat penjawat awam, ahli dan pemimpin parti turut menghantar anak mereka ke tadika Pasti.

“Ini bukan ritorik tetapi realiti hari ini. Soal parti ditolak tepi untuk kualiti kesinambungan pendidikan anak mereka di masa depan.

“Saya minta kerajaan mengkaji dan kemaskini semula kurikulum diperingkat pra sekolah ini untuk mengimbangi keperluan pengajaran dan pembelajaran dan memberikan keseimbangan terhadap kurikulum agar menjadi lebih mantap untuk memenuhi aspirasi membentuk generasi muda masa depan yang berkualiti,” ujarnya.

Bagaimanapun wakil dari Kedah, Dr. Mohd Rizal Abdul Rahman bangun mencelah kerana kurang bersetuju kurikulum Pasti diserapkan dalam kurikulum pra sekolah di bawah Kementerian Pendidikan dan agensi kerajaan.

“Pasti ditubuhkan secara rasmi oleh Dewan Pemuda Pas pada 1987, pernah berlaku murid tadika Pasti belajar lagu parti dan menyanjung pemimpin parti. Adakah tadika sebegini yang mana silibusnya berkaitan dengan perjuangan sesebuah parti itu perlu diselaraskan dengan kurikulum diperingkat pra sekolah?” soalnya.

Mohd Fathi Saiful BahrainWakil dari Negeri Sembilan Mohd Fathi Saiful Bahrain bangun mencelah lalu  menjelaskan, silibus yang dirangka oleh Jabatan Pendidikan Pas itu katanya adalah elemen yang dituntut dalam hadis bahawa seseorang itu perlu sayangkan pemimpin dan negara.

“Ia boleh dilihat sebagai sifat menyemai kasih sayang kepada pemimpin dan negara bukanlah satu kesalahan, selagi mana silibus itu dilihat bagus dan sesuai untuk mendidikan kanak-kanak di Malaysia,” ujarnya.

Persidangan Parlimen Belia Malaysia Sidang 1 Tahun 2016 ini berlansung selama dua hari bermula semalam yang dihadiri 124 ahli Parlimen Belia Malaysia.

Semalam dibentangkan dua usul daripada Jawatankuasa Sosio Ekonomi –Mengkaji mekanisme bagi meningkatkan kemampuan belia memiliki rumah mampu bilik dan Jawatankuasa Keselamatan Undang-undang dan Intergiriti – menambahbaik undang-undang sedia ada berkaian penguatkuasaan dan pembanteras penyalahgunaan dadah dikalangan belia.

Hari ini usul dari Jawatankuasa Pembangunan Masyarakat dan Kesihatan mengenai pendidikan pra sekolah dan akhir sekali akan dibentangkan usul daripada Jawatankuasa Pendidikan Kerjaya yang akan membahaskan isu berkaitan keupayaan sara diri mahasiswa.

TAGS