‘Kutip pakai amil, belanja pakai Jamil’ kini viral di media sosial

Satu catatan sarkastik yang mengulang 19 kali soalan sama, “Benarkah Jamil Khir menyalahgunakan duit YaPEIM (Yayasan Pembangunan Ekonomi Islam Malaysia)?” dan berakhir dengan "Kutip pakai amil, belanja pakai Jamil" menjadi viral dalam laman sosial.

[Sertai Telegram kami untuk berita terikini di t.me/mdateline]

Satu catatan sarkastik yang mengulang 19 kali soalan sama, “Benarkah Jamil Khir menyalahgunakan duit YaPEIM (Yayasan Pembangunan Ekonomi Islam Malaysia)?” dan berakhir dengan “Kutip pakai amil, belanja pakai Jamil” menjadi viral dalam laman sosial.

Ia menjadi ‘viral’ di aplikasi WhatsApp dan laman sosial Facebook ekoran pembongkaran Pusat Pemantauan dan Pendedahan Maklumat Nasional (NOW) mengenai perbelanjaan luar biasa yang dibuat oleh yayasan itu baru-baru ini.

Catatan berupa kronologi skandal di yayasan kebajikan Islam itu menyenaraikan kembali 19 reaksi balas atau ‘jawapan’ daripada pelbagai pihak yang sebenarnya tidak menjawab pertanyaan mudah tersebut.

Sepanjang siri pendedahan oleh Pengarah NOW, Akmal Nasir pada 9, 11, 13, 14 dan 16 November lalu, antara reaksi Jamil Khir sendiri yang disenaraikan semula termasuk desakan supaya Akmal meminta maaf dalam tempoh 24 jam; NOW akan disaman pada Khamis jika tidak menarik dakwaan serta desakan agar Akmal meminta maaf atau disaman RM10 juta.

Bagi “Jawapan 14” dalam catatan bernada sindiran dengan soalan yang sepatutnya dijawab hanya ‘ya’ atau ‘tidak’ itu pula berbunyi, “Penganjuran program untuk memerangi gejala LGBT (lesbian, gay, biseksual dan transgender)” adalah merujuk kepada reaksi Timbalan Menteri di JPM, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki di Dewan Rakyat.

Asyraf sebelum ini dilihat mempertahankan perbelanjaan YaPEIM untuk program kursus kahwin bernilai hampir RM290,000 dan menganggap yayasan itu tidak mempunyai sebarang isu penyelewengan sebaliknya menjadi perhatian kerana wujudnya tanggapan negatif sesetengah pihak.

Senarai ‘jawapan’ itu turut menyertakan beberapa reaksi yang mengandungi serangan kepada komuniti Cina dan DAP yang sebelum ini menjadi hujah blog pro-Umno.

Kecenderungan blog terbabit dilihat lebih memainkan sentimen perkauman tidak bertempat tanpa mendesak pihak berkuasa menyiasat pembongkaran NOW termasuklah perbelanjaan YaPEIM sebanyak RM590,000 untuk rombongan lawatan Jamil Khir ke Amerika Syarikat tahun lalu.

Kenyataan media oleh Ketua Pengarah dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan YaPEIM, Datuk Abibullah Samsudin sebelum ini turut terkandung dalam beberapa ‘jawapan’ tersebut antaranya tentang pendapatan tahunan YaPEIM mencecah RM1.034 bilion serta kejayaan aktiviti Ar-Rahnu tahun ini menyumbang RM83 juta kepada pendapatan yayasan itu.

Walaupun Abibullah menyebut “YaPEIM terpaksa berdepan dengan pelbagai pertuduhan jahat” daripada Akmal Nasir seperti dimuatkan dalam laman web yayasan kebajikan Islam itu tetapi hujahnya seperti terkandung dalam catatan sarkastik itu masih tidak menjawab soalan, “Benarkah Jamil Khir menyalahgunakan duit YaPEIM?”.

Menjangkakan akan lebih banyak lagi ‘jawapan’ untuk persoalan yang sama, catatan itu menyebut, “Soalan seterusnya dan seterusnya: Benarkah Jamil Khir menyalahgunakan duit YaPEIM? Jawapan 20 dan seterusnya: Tunggu jawapan lain esok, lusa dan hari-hari seterusnya juga.”

Tidak lebih sekadar alasan daripada Menteri di Jabatan Perdana Menteri (JPM) yang menjaga Hal Ehwal Islam itu serta dalih daripada pihak pentabiran atasan YaPEIM disokong pula blog pro-Umno, tidak ada lagi mana-mana pihak tampil untuk menyangkal kesahihan maklumat yang didedahkan oleh NOW.

Sehinggalah semalam (19 November), apabila Jamil Khir ‘mengotakan janji’ untuk tindakan samannya terhadap Akmal dengan menamakan Ketua Publisiti PKR Johor itu sebagai defendan manakala Jamil di pihak plaintif.

Jamil dalam writ saman itu diwakili peguam-peguam, Tan Sri Dr Muhammad Shafee Abdullah dan  Adnan Seman dalam penyataan tuntutannya mendakwa kenyataan yang diterbitkan di Facebook NOW pada 13 November lepas sebagai bersifat jahat, tidak benar dan merupakan serangan ke atas maruah, integriti serta reputasinya sebagai menteri.

Sehubungan itu, Jamil menuntut ganti rugi am, ganti rugi teladan dan ganti rugi teruk atas fitnah tersebut selain memohon perintah injunksi.

Writ saman dan pernyataan tuntutan tersebut difailkan melalui firma guaman Tetuan Adnan Sharida & Associates di Pejabat Pendaftar Mahkamah Tinggi di ibu Negara.

 

TAGS