Kutipan zakat harta Melaka meningkat tahun ini

Kutipan zakat harta Melaka meningkat tahun ini

[Sertai Telegram kami untuk berita terikini di t.me/mdateline]

Kutipan zakat harta di Melaka mencatatkan peningkatan 5.72 peratus kepada lebih RM58.24 juta antara Januari hingga semalam berbanding RM55.09 juta dalam tempoh sama tahun lepas.

Ketua Menteri Datuk Seri Idris Haron berkata bilangan pembayar zakat turut mencatatkan peningkatan sebanyak 9.02 peratus kepada 38,333 orang pada tahun ini berbanding 35,161 orang dalam tempoh sama tahun lepas.

Beliau berkata zakat pendapatan merupakan kutipan tertinggi yang dicatatkan dengan jumlah sebanyak RM32.02 juta yang dibayar oleh 29,074 orang pembayar zakat di negeri itu.

“Kutipan zakat pendapatan menyumbang kira-kira 58.72 peratus daripada jumlah keseluruhan kutipan zakat harta di Melaka pada tahun ini, meningkat 10.44 peratus berbanding RM28.99 juta pada tahun lepas.

“Zakat wang simpanan pula adalah yang kedua tertinggi dikutip dengan jumlah RM10.45 juta pada tahun ini iaitu meningkat 8.5 peratus berbanding RM9.85 juta pada tahun lepas,” katanya.

Beliau bercakap kepada pemberita selepas majlis penyerahan zakat agensi korporat semalam, yang turut dihadiri Timbalan Pengerusi Majlis Agama Islam Melaka (Maim) Datuk Yaakub Md Amin.

Pada majlis tersebut, sebanyak 13 agensi korporat menyerahkan zakat kepada Zakat Melaka dengan jumlah sebanyak RM1.9 juta, yang diserahkan wakil agensi terlibat kepada Idris, selaku Pengerusi MAIM.

Agensi yang terlibat adalah Bank Kerjasama Rakyat Malaysia Berhad dengan bayaran zakat sebanyak RM520,854; Kolej Universiti Islam Melaka (RM218,084); Maybank Islamic Berhad (RM200,000); RHB Islamic Bank Berhad (RM150,000); SME Bank Malaysia Berhad (RM132,000); Perbadanan Kemajuan Negeri Melaka (RM100,000); dan Fazil Shafie Associates Sdn Bhd (RM88,888).

Enam agensi lagi iaitu E.V Oilfield Supply and Services Sdn Bhd (RM50,000); Koperasi Co-op Bank Persatuan Malaysia Berhad (RM41,137); Kolej Universiti AgroSains Malaysia (RM30,000); Bank Simpanan Nasional Berhad (RM150,000); Percetakan Nasional Malaysia Berhad (RM8,383) dan Jabatan Ketua Menteri Melaka (RM345,651).

TAGS