KWSP hilang keyakinan pada FGV?

KWSP hilang keyakinan pada FGV?

[Sertai Telegram kami untuk berita terikini di t.me/mdateline]

Pengakuan Jabatan Hal Ehwal Korporat Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) bahawa badan itu tidak lagi memegang saham Felda Global Ventures Holdings Berhad (FGV) menunjukkan betapa rendahnya keyakinan pelabur kepada syarikat induk milik Felda yang diterajui Tan Sri Isa Samad.

Sehubungan itu, Timbalan Presiden Pas Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man bersimpati dengan para peneroka yang perlu membayar balik setiap bulan duit pinjaman yang diambil untuk memiliki saham FGV, yang kini berlegar pada paras RM1.63.

Nilai itu, katanya adalah 63.5% lebih rendah berbanding RM4.45 sesaham harga tawaran permulaan ketika FGV disenaraikan di Bursa Malaysia pada 2012.

“Beberapa penganalisis berkata prestasi saham FGV tidak akan menyebabkan Umno-BN kehilangan undi.

“Pandangan ini akan terbukti silap terutamanya apabila para peneroka mula merasai manfaat-manfaat yang diperolehi selama ini mula terkikis sedikit demi sedikit susulan masalah kewangan yang dihadapi Felda untuk menyelamatkan FGV,” tegas beliau.

Menurut Tuan Ibrahim, peneroka kini sudah pun merasai nilai pulangan hasil yang rendah daripada ladang-ladang yang diuruskan Felda.  

Tambah beliau, meskipun FGV adalah pengeluar sawit terbesar di Malaysia, namun masa depan syarikat itu agak malap kerana kadar pengeluaran tandan buah segar (FFB) adalah terendah, iaitu 14% berbanding saingannya seperti IOI (55%), Sime Darby (45%) dan Genting Plantations (14%).

“Bukan itu sahaja, masalah kewangan FGV bakal mengganggu hidup peneroka apabila isu seperti perumahan untuk peneroka generasi kedua yang terbengkalai, kelewatan bayaran hasil kelapa sawit dan kos sara hidup yang meningkat kerana kejatuhan nilai Ringgit semakin menjadi-jadi.
 
“Jika saham FGV terus merudum, siapa yang bakal menyelamatkannya? Seperti 1MDB, siapa yang membayar pada akhirnya kalau bukan kerajaan menggunakan duit yang dikutip daripada poket rakyat?” ujar beliau.

TAGS