KWSP lancar dana patuh syariah, umum dividen bulan ini

KWSP lancar dana patuh syariah, umum dividen bulan ini

[Sertai Telegram kami untuk berita terikini di t.me/mdateline]

Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) dijangka melancarkan dana patuh Syariah sepenuhnya pada Januari 2017 sebagai pilihan kepada pencarum yang berminat menukarkan simpanan mereka kepada status patuh Syariah sepenuhnya.

Timbalan Ketua Pegawai Eksekutifnya (Pelaburan) Datuk Mohamad Nasir Ab Latif berkata saiz awal dana itu dijangkakan antara RM100 bilion dan RM120 bilion.

“Dana itu akan berasaskan ‘siapa cepat dia dapat’ kerana saya tidak rasa kami boleh menampung semua orang.

“Kami menyasar kurang daripada RM120 bilion. Ia hanya anggaran,” katanya kepada pemberita pada taklimat media di sini, hari ini.

Jumlah aset pelaburan pengurus dana itu berkembang sebanyak RM667.56 bilion pada September 2015, meningkat RM31.03 bilion bagi tempoh sembilan bulan pertama tahun tersebut.

Pada April tahun lepas, Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak mengumumkan dana patuh Syariah oleh KWSP yang bertujuan mengukuhkan lagi kedudukan Malaysia sebagai pemain utama dalam hab kewangan Islam.

KWSP kemudiannya mengambil khidmat perunding untuk mengkaji kemungkinan menubuhkan dana pencen sokongan negara pertama yang dikhususkan sepenuhnya kepada pelaburan patuh Syariah.

Dalam perkembangan terkini KWSP juga akan mengisytiharkan dividen yang ‘baik’ tahun ini, kata Mohamad Nasir.

Pengumuman itu akan dibuat selepas Tahun Baru Cina, bagaimanapun enggan menyatakan angkanya.

KWSP mengumumkan dividen 6.75 peratus bagi tahun 2014, lebih tinggi berbanding 6.35 peratus yang diumumkan pada 2013.

 

TAGS