Lagi gempa 6.5 skala Ritcher di Christchurch, pelajar Malaysia selamat

Lagi gempa 6.5 skala Ritcher di Christchurch, pelajar Malaysia selamat

[Sertai Telegram kami untuk berita terikini di t.me/mdateline]

Gempa bumi kuat berukuran 6.5 pada skala Ritcher melanda South Island di New Zealand pagi ini.

Menurut kenyataan Jabatan Meteorologi Malaysia, kejadian pada pukul 8.34 pagi itu berlaku di luar pantai timur South Island, 151km Timur Laut dari bandar Christchurch.

Bagaimanapun, menurut kenyataan itu, kejadian itu tidak membawa kepada ancaman tsunami terhadap Malaysia.

Pusat gempa bumi itu terletak 7,648 km tenggara dari Semporna di Sabah.

Semalam, gempa bumi kuat berukuran 7.5 pada skala Richter melanda South Island pada pukul 7.02 malam iaitu 92km timur laut dari bandar Christchurch.

Dalam satu kenyataa rasmi Kementerian Pendidikan Tinggi mengesahkan bahawa kesemua 1,200 pelajar Malaysia yang sedang menuntut di lapan buah Universiti di Christchurch, New Zealand yang dilanda gempa bumi pada hari ini, selamat.

Pejabat Education Malaysia dan Kedutaan Besar Malaysia di New Zealand telah menghubungi kesemua wakil pelajar yang menuntut di lapan Universiti tersebut selepas kejadian dan mendapati kesemua mereka berada dalam keadaan selamat.

Education Malaysia di New Zealand telah menasihati pelajar-pelajar Malaysia agar sentiasa peka dan berjaga-jaga serta mengikuti nasihat yang dikeluarkan oleh Pertahanan Awam New Zealand menurut kenyataan itu.

Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak hari ini juga menasihatkan rakyat Malaysia di New Zealand supaya sentiasa berwaspada dan segera menghubungi Suruhanjaya Tinggi Malaysia di Wellington jika mereka terjejas akibat gempa bumi semalam.

Dalam satu kenyataan di laman akaun Facebook rasmi beliau, Najib berkata Kementerian Luar akan terus memantau rapi keadaan itu walaupun tiada laporan rakyat Malaysia menjadi korban setakat ini.

“Amaran tsunami sudah dikeluarkan setakat ini tetapi setakat ini tiada laporan rakyat Malaysia yang terkorban. Bagaimanapun, Kementerian Luar akan terus memantau rapi keadaan di sana.

Tolong berwaspada dan hubungi Suruhanjaya Tinggi Malaysia di Wellington di talian +64-4-3852439 atau +64210440188 jika anda memerlukan bantuan atau pertanyaan lanjut,” kata beliau.

Perdana Menteri juga mengucapkan takziah kepada rakyat New Zealand, terutama kepada keluarga dan mangsa tragedi itu.

Semalam, satu gempa bumi kuat pada magnitud 7.8 melanda Pulau Selatan New Zealand, mengorbankan sekurang-kurangnya dua nyawa.

Susulan kejadian, pihak berkuasa telah mengeluarkan amaran ancaman-Tsunami dan setiap orang di pantai timur negara itu diarahkan menuju ke kawasan dalam atau tanah tinggi pulau berkenaan.

TAGS