Lagi suara desakan Ketua Cawangan mahu Najib lepas jawatan

[Sertai Telegram kami untuk berita terikini di t.me/mdateline]

Gerak gempur ketua-ketua cawangan dan ahli mendesak Presiden Umno, Datuk Seri Mohd Najib Razak berundur semakin kedengaran dengan lantang tanpa berasa gusar akan dikenakan tindakan oleh Lembaga Disiplin parti.

Malam tadi berhimpunnya  lima lagi  kumpulan Ketua-ketua Cawangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Hulu Kelang di Parlimen Gombak yang diadakan di Taman Melawati dihadiri lebih kurang 100 ahli akar umbi.

Mereka senada menyuarakan pendirian bersama menyatakan kekecewaan terhadap sikap membisu dikalangan Ketua Bahagian dan Ahli Majlis Tertinggi (MT) parti itu yang tidak berani untuk bersuara menyatakan pendirian mereka terhadap kepimpinan Presiden.

Jurucakapnya, Ketua Cawangan Delima Lembah Keramat, Hamdan Abdul Rahman, berkata, semua lima ketua cawangan di Dun Hulu Kelang ini bangkit bersuara bagi pihak akar umbi.

Justeru katanya, adalah malang ketika ahli akar umbi mencari kebenaran, mereka yang diberi amanah dan tanggungjawab gagal melaksanakan tugas mereka dengan jujur dan sempurna.

“Umno perlu terus memupuk keberanian pemimpin dan ahlinya dalam perjuangan bangsa dan agama bukan hanya kepentingan peribadi,” ujarnya.

Gerak gempur ketua-ketua cawangan di bawah urusetia yang dikenali sebagai Gabungan Ketua Cawangan Malaysia (GKCM) mahu menyedarkan Presiden dengan pelbagai isu membabitkan dirinya yang masih lagi gagal diperjelaskan kepada perwakilan dan ahli Umno semasa Perhimpunan Agung Umno (PAU) 2015 baru-baru ini.

 Ketua Cawangan Delima Lembah Keramat, Hamdan Abd. Rahman“Jika kami tidak menyokong presiden bukan bermakna kami tidak menyokong parti. Disebabkan terlalu sayangkan partilah kami menolak Presiden Umno, kerana kerosakan yang telah beliau lakukan.

“Kami juga mahu mengingatkan kepada ketua-ketua bahagian yang tidak suka dengan cara kami, janganlah cuba mengugut untuk menghalang kami daripada bersuara. Kami tidak menolak individu tetapi kami menolak perbuatannya,” ujarnya.

Lima ketua cawangan yang turut sama dalam sidang media adalah dari Delima Lembah Keramat, Taman Melawati, Kampung Kemensah Hilir, Jelatek Permai dan Lake View, Batu Caves.

Di Parlimen Gombak terdapat 200 cawangan Umno yang mempunyai tiga DUN yang mana dakwanya dianggarkan 40 peratus cawangan-cawangan ini menolak kepimpinan Presiden parti.

“Walaupun mereka tidak menyertai kami malam ini tetapi kami tahu mereka menyatakan sokongan dengan hasrat yang sama, seperti moto GKCM ‘berani kerana benar’jadi apa yang kami lakukan ini semata-mata untuk mencari kebenaran dan sedia untuk diambil tindakan oleh Lembaga Disipin parti,” ujarnya.

Dalam pertemuan ketua-ketua cawangan Dun Hulu Kelang turut hadir ialah Ketua Cawangan dari DUN Teluk Kemang yang digugurkan dari jawatan Ketua Cawangan Taman Datuk Haji Abdul Samad kerana mengadakan gerak gempur menentang presiden parti.

Datuk Mohd Zain Mustapa berkata, walaupun beliau dilucutkan jawatan Ketua Cawangan beliau masih lagi ahli Umno yang sah. Justeru beliau akan meneruskan perjuangan bersama Ketua-ketua Cawangan lain seluruh negara,untuk terus membuat desakan agar Presiden berundur sebelum menjelang pilihan raya akan datang.

TAGS