Langkah SPR  batal program pendaftaran pengundi dikesali

Langkah SPR batal program pendaftaran pengundi dikesali

[Sertai Telegram kami untuk berita terikini di t.me/mdateline]

Tindak-tanduk Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) memberikan pelbagai alasan mengarut dalam melaksanakan tugas mendaftar pengundi baharu dianggap sebagai cubaan mensabotaj proses pilihan raya negara ini.

Persoalan itu ditimbulkan DAP Selangor apabila semua program pendaftaran pengundi yang dirancang untuk diadakan di beberapa lokasi di seluruh Selangor bermula awal Oktober hadapan dibatalkan SPR.

Menurut pengerusinya Tony Pua, antara alasan yang diberikan SPR adalah sedang memberikan fokus terhadap bantahan persempadanan semula kawasan pilihan raya.

“Tetapi apabila kita minta calon pemilih berdaftar di pejabat pos terdekat, kami sering dapat aduan bahawa borang pendaftaran pemilih pula tidak mencukupi,” katanya dalam satu sidang media di Petaling Jaya, pagi tadi.

Jelas Tony, perkara tersebut jelas menunjukkan SPR tidak cekap dan gagal memikul tanggungjawab mereka untuk memastikan pemilih yang layak berdaftar dan dapat memenuhi tanggung jawab mereka untuk mengundi.

Ahli Parlimen Petaling Jaya Utara itu berkata, tindakan yang dilihat sebagai sabotaj ini berlaku kerana generasi muda tidak lagi memiliki keyakinan dan kepercayaan terhadap Umno dan BN.

“Dalam pilihan raya lalu jelas menunjukkan majoriti dari generasi muda lebih memihak kepada pembangkang,” lapor Roketkini.com.

Naib Pengerusi DAP Selangor Hannah Yeoh pula berkata, SPR seolah-olah terlalu takut dengan pemilih baru.

“Tindakan membatalkan semua program pendaftaran pemilih itu jelas menunjukkan mereka mahu menghalang pemilih daripada mendaftar,” katanya.

Adun Subang Jaya itu menjelaskan, pihaknya menerima banyak permintaan untuk mendaftarkan pengundi baharu namun tergendala setelah SPR menolaknya dengan banyak alasan.

“Sebelum ini kita mempunyai Penolong Pendaftar Pemilih. Jadi ahli-ahli kita akan pergi ke pusat beli belah, pasar malam dan pasar pagi untuk lakukan pendaftaran. Sekarang, cara sebegini dihentikan ini, mereka tak lagi lantik ahli-ahli parti jadi Penolong Pendaftar dan kita terpaksa bergantung sepenuhnya (SPR),” ujar beliau.

Dalam sidang media yang sama, Adun Balakong Eddy Ng Tien Chee mendedahkan, selain pendaftaran program daftar pemilih anjuran DAP, kaunter-kaunter pendaftaran pemilih yang dibuka di pusat-pusat membeli belah sepanjang September ini berhadapan masalah kekurangan borang pendaftaran.

Menurutnya, program pendaftaran pemilih di AEON Cheras Selatan pada awal September lalu terpaksa dihentikan pada jam 1 tengahari akibat kekurangan borang walaupun ia dijadual berakhir pada jam 5 petang.

Alasan yang sama turut digunakan SPR apabila kaunter pendaftaran pemilih yang dibuka di pusat-pusat membeli belah lain terpaksa ditutup awal seperti di Sunway Pyramid, IOI Puchong, AEON Taman Equine (Kinrara).

SPR juga dikritik kerana didakwa tidak memiliki sistem atas talian yang baik malah ada ketikanya tidak dapat diakses disebabkan oleh gangguan malware.

“Ini satu keadaan yang tidak sihat, SPR perlu lebih profesional dan bertanggungjawab,” kata Ahli Jawatankuasa DAP Selangor Edry Faizal.

Beliau berkata, SPR seolah-olah tidak bersedia menghadapi kesedaran rakyat Malaysia khususnya golongan muda yang semakin ramai mahu berdaftar sebagai pengundi.

Prestasi SPR semakin buruk apabila agensi tersebut sejak tahun 2013 telah berhenti melantik Penolong Daftar Pemilih dari parti-parti politik yang bertujuan membantu pendaftaran pemilih baharu.

Pada tahun 2011 dan 2012, terdapat 5,720 dan 4,777 Penolong Pendaftar yang dilantik. Pada hari ini, ia telah diabaikan dan tidak digantikan dengan sebarang badan atau institusi yang melaksanakan tugas yang serupa.

Kesannya dapat dilihat dengan ketara apabila pada tahun 2011 sahaja, seramai 1,023,170 rakyat Malaysia yang layak telah mendaftar sebagai pemilih.

Bagaimanapun, bermula dari tahun 2013 sehingga 2015, hanya 617,254 pemilih yang berjaya didaftarkan dan keadaan bertambah parah apabila SPR ‘mengehadkan’ aktiviti pendaftaran pemilih mereka dengan pelbagai alasan yang tidak munasabah.

TAGS