Langkah terbaru BNM cukup menyokong nilai Ringgit, kata AIBC

Langkah terbaru BNM cukup menyokong nilai Ringgit, kata AIBC

[Sertai Telegram kami untuk berita terikini di t.me/mdateline]

Langkah-langkah yang diumumkan Bank Negara Malaysia (BNM) baru-baru ini untuk meningkatkan kecairan dalam pasaran tukaran asing sudah mencukupi untuk menyokong ringgit, menurut Majlis Perniagaan ASEAN-India (AIBC) Malaysia.

Pengerusinya Datuk Ramesh Kodammal berkata ringgit tidak akan mengalami keadaan tidak menentu yang ketara pada masa ini, susulan langkah-langkah BNM itu.

“Melihat kepada keadaan semasa ini, langkah-langkah yang diambil Bank Negara, meminta pengeksport menukar 75 peratus daripada dolar AS kepada ringgit, adalah idea yang baik pada masa ini untuk menyokong ringgit,” katanya kepada Bernama selepas taklimat media Institute of Chartered Accountants in England and Wales (ICAEW) mengenai perkembangan terkini ekonomi Asia Tenggara.

Dalam satu kenyataan semalam, BNM berkata rizab antarabangsanya susut US$1.9 bilion kepada US$96.4 bilion pada 30 Nov, 2016 berbanding US$98.3 bilion dua minggu sebelumnya, yang mencerminkan penyaluran mudah tunai sokongan ke dalam pasaran pertukaran asing.

Paras rizab pada 30 Nov, 2016 itu memadai untuk membiayai 8.3 bulan import tertangguh dan ialah 1.2 kali hutang luar negeri jangka pendek, katanya.

Sementara itu, Penasihat Ekonomi ICAEW dan Ketua Pakar Ekonomi Oxford Priyanka Kishore berkata campur tangan BNM untuk menyokong ringgit memang telah dijangka.

Pada Jumaat lepas, BNM mengumumkan langkah-langkah baru untuk menggalakkan lebih banyak perdagangan dalam negeri dalam ringgit, sebagai usaha untuk mengekang kejatuhan mata wang tempatan berbanding dolar AS.

Dalam satu kenyataan, BNM berkata pengeksport hanya boleh menyimpan sehingga 25 peratus daripada perolehan eksport dalam mata wang asing di bawah peraturan baru itu, dengan baki yang lebih memerlukan kelulusan BNM.

“Mata wang asing yang terhasil daripada penukaran perolehan eksport akan digunakan untuk memastikan kecairan berterusan mata wang asing dalam pasaran dalam negeri,” katanya.

Langkah-langkah berkenaan berkuat kuasa pada Isnin.

Sementara itu, Ramesh berkata mengenai masa depan, ringgit dijangka kekal pada paras semasa dalam jangka pendek, sebelum pulih kembali kepada kira-kira RM4 berbanding satu dolar AS pada separuh pertama 2017.

“Saya percaya eksport kita akan bertambah baik dan harga minyak akan kekal pada sekitar US$60-US$65 setong pada separuh pertama tahun depan, sejajar dengan pemulihan dalam harga komoditi yang lain.

“Banyak pelaburan asing dijangka datang pada masa akan depan, terutamanya disebabkan ringgit yang lebih rendah,” katanya

TAGS