Lantik Peguam Negara ahli lembaga TH cetus ‘percanggahan kepentingan’

Lantik Peguam Negara ahli lembaga TH cetus ‘percanggahan kepentingan’

Melantik Peguam Negara sebagai ahli lembaga pengarah Tabung Haji (TH) tidak akan membantu institusi kewangan itu membetulkan keadaan yang wujud malah menimbulkan lebih banyak spekulasi tentang percanggahan kepentingan (conflict of interest) dalam badan itu.

Malah bagi Ahli Parlimen Parit Buntar Datuk Dr Mujahid Yusof, perlantikan Tan Sri Mohamad Apandi Ali itu seolah-olah bertujuan ‘menyelamatkan’ TH daripada tindakan undang-undang.

Setelah kes pembelian hartanah pada nilai berlipat kali ganda dalam projek Bandar Malaysia milik syarikat bermasalah 1MDB, TH kembali menarik perhatian umum apabila surat Gabenor Bank Negara kepada menteri yang bertanggung jawab terhadap institusi itu tersebar di media sosial.

Surat yang salinannya ditujukan kepada Perdana Menteri yang juga Menteri Kewangan menyatakan kebimbangan Bank Negara terhadap kedudukan kewangan TH yang dikhuatiri menjejaskan pulangan dividen kepada pendeposit.

Pelantikan Apandi sebagai anggota lembaga pengarah TH disahkan wakil lembaga itu Anis Zuhani Ahmad, 26 Januari lalu.

Berita pelantikan Apandi tersebar pada hari beliau mengumumkan tiada kesalahan jenayah dilakukan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak berhubung wang sumbangan RM2.6 bilion yang dimasukkan ke akaun peribadinya serta siasatan berkaitan SRC International.

Apandi juga mengumumkan kes itu kini ditutup.

Dalam perkembangan berkaitan, Mujahid turut menuntut TH menjelaskan bagaimana Lembaga Pengarah dan pengurusannya membuat keputusan strategik tentang portfolio pelaburan dari sudut kepentingan 9 juta pendeposit.

TH ujar beliau, tidak menjelaskan bahaya kepada portfolio pelaburannya apabila 5 peratus dari pendeposit institusi menguasai 75 peratus saiz deposit.

Menurut Mujahid, berbeza dengan pendeposit individu yang tidak bermotif keuntungan dan hanya menyimpan untuk melakukan ibadat Haji, ‘pendeposit institusi’ lebih bermotifkan keuntungan.

“Apakah mereka mahu mengalami kerugian dengan kedudukan sekarang atau mahukah mereka meneruskan pelaburan dalam keadaan pengurusan korporat TH yang tidak telus dan melanggar undang-undang?

“Penarikan mereka daripada pelaburan TH akan menyebabkan kedudukan TH lebih parah,” ujar Naib Presiden Amanah itu.

TAGS