Lapan bulan tak bergaji, nak berhenti PPD tak beri, keluh pekerja

Lapan bulan tak bergaji, nak berhenti PPD tak beri, keluh pekerja

Lapan bulan bekerja tidak mendapat gaji yang sepatutnya diperoleh sejak Mei tahun lalu. Itu dialami 51 pekerja di bawah kontraktor pembersihan Time Medi Enterprise yang dipilih oleh Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM).

[Sertai Telegram kami untuk berita terikini di t.me/mdateline]

Lapan bulan bekerja tidak mendapat gaji yang sepatutnya diperoleh sejak Mei tahun lalu. Itu dialami 51 pekerja di bawah kontraktor pembersihan Time Medi Enterprise yang dipilih oleh Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM).

Mereka bekerja di tujuh buah sekolah sekitar Ipoh dengan ada yang berpendapatan hanya RM640 sebelum pelaksanaan gaji minimum mulai Julai lalu.

Anwar OmarTukang kebun sekolah, Anwar Omar, 68, memberitahu gaji tunggakan mereka akan disekat jika mengambil tindakan berhenti.

“Cukup tiga bulan tak dapat gaji, kami pergi mengadu kepada PPD (Pejabat Pendidikan Daerah) Kinta Utara. Pegawai di sana, Faizal namanya berjanji akan selesaikan tunggakan gaji kami.

“Kalau kami berhenti, dia kata kami tak akan dapat gaji sebelum ini,” ujarnya ketika ditemui Malaysia Dateline di perkarangan KPM hari ini.

Menurut Anwar, mereka difahamkan pihak berkenaan menyimpan wang gaji pekerja terbabit.

“Duit itu ada tapi sampai sekarang tidak bagi. Kontraktor bankrap dan lari. Kami sudah pergi mengadukan hak kami ini pada KWSP (Kumpulan Wang Simpanan Pekerja) dan pejabat buruh,” tambahnya lagi.

Maimon Abd RahmanSementara itu, pekerja pembersihan Maimon Abd Rahman, 65, berkata, guru yang prihatin banyak membantu kewangan mereka sepanjang mereka tidak memperoleh pendapatan.

“Mereka ada bagi sikit-sikit. Cikgu kutip-kutip bagi pada kami. Masa Hari Raya lepas dapatlah kami RM150 hingga RM200,” ujarnya yang berkhidmat lebih 10 tahun di SMK Tarcisian Convent.

Mereka ditemui sebelum sesi dialog bersama pihak KPM sempena penyerahan memorandum oleh Jaringan Pekerja Kontrak Kerajaan menuntut menteri menyelesaikan tunggakan gaji kepada pekerja terbabit.

TAGS