Larangan ceramah di Johor : Fathul Bari terkilan, Asri  tuduhan fitnah

Larangan ceramah di Johor : Fathul Bari terkilan, Asri tuduhan fitnah

[Sertai Telegram kami untuk berita terikini di t.me/mdateline]

Mufti Perlis Datuk Dr Mohd Asri Zainul Abidin dan Exco Pemuda Umno Dr Fathul Bari Mat Jahaya dilaporkan mempunyai enam bentuk pengeliruan yang disenaraikan di mana salah satunya terlibat mengkafirkan umat Islam.

Ketika ditanya tentang dakwaan itu, Fathul Bari sempat berseloroh berkata: “Mungkin saya banyak mengkafirkan orang kot, itu yang mereka tak bagi (ceramah). Ramai betul saya kafirkan umat Islam. Masya-ALLAH.” ujarnya sebagaimana dipetik dari Sinarharian.

Dr. Fathul Bari (kiri sekali) bersama Sultan Johor (tengah) dalam satu pertemuan dengan sekumpulan pendakwah.-Foto Fb Fathul BariDalam pada itu, beliau terus bersangka baik dan mahu pihak yang mendakwa itu menjemput semua ilmuan yang disenaraikan itu dan mengadakan satu diskusi ataupun perbincangan sama ada secara terbuka atau tertutup.

“Jangan bina hujah atas asas sentimen. Kamu suka, kami tak suka atau kamu tidak suka, kami suka. Ini tidak akan menyelesaikan masalah. Sebab dalam Islam ada perbezaan pendapat tetapi cara menanganinya bukan dengan cara mengharamkan, dakwaan atau fitnah orang.

“Tak setuju dengan pandangan ‘fine’ anda boleh nyatakan tidak setuju dengan pandangan saya atau sesiapapun tapi untuk membuat tuduhan, mengkafirkan orang, itu satu tuduhan yang berat dan saya kira pihak yang menuduh sekiranya betul, jemput dan berbincang. Selesaikan dengan cara yang harmoni dan baik,” katanya yang mengakui mempunyai hubungan baik dengan Johor selama ini.

Katanya, banyak bahan atau kenyataan yang diambil secara separuh tanpa melihat intinya secara keseluruhan yang akhirnya membuatkan timbul persepsi negatif.

 Datuk Dr Asri Zainul Abidin dan Dr. Fathul Bari Mat Jahaya antara 16 penceramah bebas yang dilarang Kerajaan Johor untuk berceramah atau mengajar agama di negeri ini kerana didakwa tidak sealiran dengan fahaman Ahli Sunnah Wal-Jamaah (AWSJ).

Larangan itu berkuat kuasa sejak 31 Disember lalu.

Pengerusi Jawatankuasa Agama Johor, Abd Mutalip Abd Rahim dipetik berkata, selain 16 penceramah bebas itu, akan menyusul beberapa nama lain yang bakal dikenakan tindakan sama.

“Larangan tersebut dibuat berlandaskan Undang-Undang Tubuh Negeri Johor dan enakmen sedia ada bagi menjaga kesucian agama Islam.

“Kita bukan mengambil tindakan tersebut sesuka hati tetapi ia dilakukan bersebab, malah penceramah dari Johor sekali pun kalau ada yang berbuat seperti itu, kita juga tetap ambil tindakan,” katanya kepada Bernama semalam.

Datuk Dr Mohd Asri Zainul AbidinSementara itu, Mufti Perlis  Dr Mohd  Asri atau lebih dikenali sebagai Ustaz Maza menyifatkan dakwaan itu sebagai satu fitnah.

“Ini adalah satu fitnah. Saya mencabar pihak pemfitnah itu membuktikannya. Saya rasa mereka patut disaman fitnah.

“Bahkan semua yang terlibat patut bersatu mengambil tindakan undang-undang kepada pihak berkenaan. Rakyat Malaysia boleh membaca tulisan di internet. Apakah mereka menemui hal yang seperti itu?” katanya seperti yang dilaporkan Malaysiakini.

Dr Maza juga disenaraikan enam bentuk pengeliruan termasuk memfitnah Institusi Mufti, mengkafirkan amalan ulama dan umat Islam dan tahlil kematian tidak memberi faedah kepada si mati.

TAGS