Lawan ‘trip’ lipat balik, ikut kata tauke bas

Lawan ‘trip’ lipat balik, ikut kata tauke bas

[Sertai Telegram kami untuk berita terikini di t.me/mdateline]

Ketika banyak pihak mendakwa bas ekspres yang terbabit dalam nahas mengorbankan 14 nyawa di Muar kelmarin dipandu laju, satu kenyataan pengguna media sosial yang tersebar dilihat mungkin menjawab punca situasi tersebut berlaku.

Catatan berkenaan yang bersimpati dengan nasib Allahyarham Zakeer Zubir, 32, mendakwa pemandu berkenaan terpaksa bekerja tanpa henti ulang-alik melibatkan destinasi utara dan selatan tanah air.

Pemandu didakwa terpaksa kejar trip ikut perintah tauke bas

“Kasihan arwah Zakeer driver bas tu. Kerja straight non stop drive sorang-sorang lawan trip lipat balik Pen-JB-KL-JB-KL-Ipoh-Penang-JB-KL-JB tak sempat sampai KL.

“Bawak anak bini temankan. Tidur dalam bas untuk beberapa jam saja. Kadang-kadang tak sempat tidur kena jalan awal. Camni pun driver jugak yang kena kecam. Driver kena ikut kata tokeh (tauke) bas. Kalau tak, tak dapat gaji nanti,” dipetik dari catatan yang dikatakan disalin dari satu kumpulan WhatsApp.

Bas yang dipandu Zakeer dilapor hilang kawalan hingga terjunam ke dalam cerun pada 3.45 pagi, 24 Disember lalu di Kilometer (KM) 137.2 Lebuhraya Utara Selatan (PLUS) arah utara berhampiran Kampung Jayor dan Plaza Tol Pagoh.

Siasatan awal polis mendapati tragedi bas yang turut mengorbankan anak bongsu Zakeer, Nur Natasya Zahara yang baharu berusia setahun itu terbabas ke kiri jalan dengan kesan tanah sejauh 150 meter tanpa kesan brek.

Untuk rekod, rekod terburuk dalam sejarah kemalangan negara membabitkan sebuah bas ulang-alik Genting Highlands pada 21 Ogos 2013 apabila mengorbankan 37 orang.

Bas yang membawa 53 penumpang itu terbabas lalu terhumban ke dalam gaung sedalam 150 meter ketika menuruni pusat peranginan tersebut ketika hujan renyai-renyai di KM 3.5, Jalan Genting Highlands- Kuala Lumpur.

Sepanjang tahun ini, beberapa kes kemalangan melibatkan bas ekspres berlaku tetapi tidak meragut nyawa. Antaranya, nahas di Jalan Kuantan-Pekan, Pahang sebelum Subuh, 28 Oktober lalu yang menyaksikan 36 penumpang dan dua pemandu sebuah bas ekspres nyaris maut apabila bas dinaiki terbabas.

Sementara itu, dua cedera dalam kemalangan jalan raya membabitkan sebuah bas ekspres yang membawa 28 penumpang dengan 10 kenderaan lain di KM 265.8 PLUS arah selatan selepas Terowong Menora, Ipoh dalam kejadian pukul 3 petang, 10 Julai lalu.

TAGS