Lawatan Dame Patsy manifestasi hubungan baik Malaysia-New Zealand

Lawatan Dame Patsy manifestasi hubungan baik Malaysia-New Zealand

[Sertai Telegram kami untuk berita terikini di t.me/mdateline]

Yang di-Pertuan Agong, Sultan Muhammad V bertitah lawatan oleh Gabenor Jeneral New Zealand, Dame Patsy Reddy adalah manifestasi hubungan baik Malaysia dan New Zealand.

Seri Paduka bertitah New Zealand merupakan salah sebuah negara terawal menjalinkan hubungan diplomatik dengan Malaysia sejak negara mencapai kemerdekaan dan terus mengorak langkah mengukuhkan hubungan yang terjalin atas dasar pertalian sejarah yang erat.

Beta amat gembira dengan usaha kedua-dua negara memperkukuhkan hubungan dua hala dalam pelbagai bidang kerjasama terutama dalam bidang perdagangan dan pelaburan, pendidikan, pertahanan dan keselamatan, titah Sultan Muhammad V.

Seri Paduka turut mengambil maklum akan komitmen oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Mohd Najib  Razak dan Perdana Menteri New Zealand, Jacinda Ardern dalam usaha meningkatkan hubungan dan kerjasama dalam bidang yang berpotensi untuk diterokai.

Baginda bertitah demikian pada Majlis Santapan Negara di Istana Negara malam ini, bagi meraikan Dame Patsy yang kini melakukan rangka lawatan empat hari ke negara ini.

Majlis yang berlangsung di Dewan Santapan istana berkenaan itu dihadiri beberapa menteri Kabinet termasuk Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Nancy Shukri, selaku menteri pengiring.

Terdahulu, Sultan Muhammad V berkenaan menerima menghadap Dame Patsy di Dewan Seri Maharaja Istana Negara.

Sultan Muhammad V seterusnya menzahirkan harapan agar persahabatan kedua-dua negara akan berpanjangan dan lawatan ini akan membuka lembaran baharu dalam hubungan Malaysia-New Zealand pada masa akan datang.

Sementara itu, ketika Malaysia dan New Zealand meraikan hubungan diplomatik selama 60 tahun pada tahun ini, Dame Patsy berkata hubungan rapat antara kedua-dua negara itu adalah lebih lama daripada itu.

Beliau berkata tentera New Zealand yang berkhidmat semasa zaman Daurat dan Konfrontasi di Tanah Melayu telah meletakkan asas untuk hubungan pertahanan rapat antara Malaysia dan New Zealand yang kembali ke tahun 1940-an.

Esok, saya mendapat penghormatan untuk mengunjungi Tanah Perkuburan Tentera Komanwel di Cheras untuk memberi penghormatan kepada warga New Zealand yang disemadikan di sana sejak zaman Darurat.

“Saya mengucapkan terima kasih kepada Malaysia terhadap penjagaan dan menghormati terhadap pengebumian tentera New Zealand,” katanya dalam ucapan pada majlis santapan itu.

Beliau turut berkata pasukan pertahanan Malaysia dan New Zealand akan bekerjasama dalam Operasi Te Auraki tahun depan bagi mengembalikan rangka warga tentera yang disemadikan di situ kepada keluarga masing-masing.

Mengenai hubungan perdagangan, katanya Malaysia adalah salah satu daripada 10 rakan perdagangan utamanya di mana kedua-dua negara itu berkongsi budaya inovasi, kreativiti dan keterbukaan.

Terdapat banyak peluang untuk bekerjasama lagi dalam bidang pendidikan, perhutanan, kesihatan, bioteknologi dan pertanian.

Kedua-dua negara ini telah menikmati persahabatan selama lebih 60 tahun dan saya tidak sabar untuk melihat jalinan ini terus kukuh pada tahun-tahun akan datang, katanya,

Dame Silvia Cartwright merupakan Gabenor Jeneral New Zealand yang terakhir melakukan lawatan negara ke Malaysia dari 27 September hingga 1 Oktober 2004.

CATEGORIES
TAGS