Lawatan Najib ke Kelantan memalukan, kata Pemuda Pas

Lawatan Najib ke Kelantan memalukan, kata Pemuda Pas

Pemuda Pas Kelantan berpandangan kehadiran Perdana Menteri, Datuk Seri Mohd Najib Razak ke Kelantan 28 Januari lalu sebagai satu sejarah yang memalukan.

Ketua Pemudanya Ahmad Fadhli Shaari berkata ucapan perdana menteri yang menyebut Kelantan tidak akan dapat membayar gaji kakitangannya jika tanpa bantuan Kerajaan Pusat menunjukkan bagaimana Najib gagal memahami konsep federalisme yang telah termaktub di dalam perlembagaan.

“Ia bagaikan seakan mengulangi cerita ‘7 Janji’ yang dilontarkan beliau juga di Kelantan sebelum pilihanraya umum ke 13 yang lalu,” katanya.

Ahmad Fadhli Shaari

Ahmad Fadhli Shaari

Beliau yang tidak menafikan kebenaran kata-kata Najib berkata adalah perlu untuk difahami bahawa kerajaan negeri dan pusat mempunyai bidang kuasa masing masing mengikut jadualnya yang tersendiri.

“Kerajaan pusat mempunyai bidang kuasa memerintah melalui Dewan Rakyat, manakala kerajaan negeri pula melalui Dewan Undangan Negeri.

“Di antara kuasa-kuasa yang ada pada kerajaan pusat adalah kewarganegaraan Persekutuan, hubungan luar, pertahanan, keselamatan dalam negeri, kewangan, pendidikan, perdagangan dan industri.

“Kuasa kerajaan negeri pula merangkumi undang-undang Islam, tanah, pertanian dan perhutanan, kerajaan tempatan, perkhidmatan tempatan dan jentera kerajaan negeri,” katanya.

Realitinya, kata beliau ia (mencukupkan bayaran gaji) tidak boleh disebut sebagai bantuan.

“Ia adalah kewajipan anda sebagai Kerajaan Pusat.

“Adakah ia tanda bahawa parti Datuk Seri sudah jemu untuk mentadbir kerajaan Pusat?,” soalnya.

Beliau kesal dengan kegagalan Perdana Menteri memahami konsep ini.

“Harapnya ia hanyalah penyedap telinga kepada jentera Umno Kelantan untuk meningkatkan usaha berdepan pilihanraya umum ke 14 bersama rakan baru di Kelantan seperti yang dinyatakan oleh Tengku Razaleigh Hamzah beberapa hari lepas,” katanya.

Ahad lalu Menteri Besar Kelantan, Datuk Ahmad Yakob menyambut ketibaan Perdana Menteri Datuk Seri Mohd Najib Razak di Kota Bharu.

Beliau kelihatan mengiringi Najib di majlis himpunan penjawat awam yang diadakan di perkarangan Wisma Persekutuan Jalan Bayam.

Ketika berucap di majlis yang turut dihadiri MB itulah Najib menyindir kerajaan negeri tidak mampu bayar gaji tanpa bantuan kerajaan pusat.

0.0
OVERALL SCORE
Have no any user vote
CATEGORIES